KUCHING: Nilai saling menghormati antara kaum perlu dipupuk sejak di bangku sekolah kerana ia menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Sarawak yang harmoni, inklusif dan bersatu padu, kata Pengarah Pendidikan, Omar Mahli.
Beliau berkata, sekolah merupakan institusi paling penting dalam menyemai nilai berkenaan sejak usia muda memandangkan murid di Sarawak membesar dalam persekitaran masyarakat majmuk yang membolehkan mereka belajar, bermain dan bekerjasama dengan rakan daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya.
Menurutnya, pengalaman tersebut bukan sahaja membentuk sikap keterbukaan, toleransi dan empati, malah membantu murid memahami bahawa kepelbagaian budaya merupakan satu kekuatan yang perlu dihargai dan dipelihara.
“Budaya menghormati pelbagai kaum bukan sekadar memahami adat resam atau menghadiri sambutan perayaan, malah merangkumi kesediaan menerima perbezaan sebagai satu kekuatan.
“Murid yang menghormati budaya rakan mereka akan lebih mudah memahami kepelbagaian bahasa, adat, kepercayaan dan cara hidup masyarakat lain. Secara tidak langsung, ia menghapuskan prasangka, mengurangkan stereotaip serta membina hubungan persahabatan yang lebih erat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di Facebook, hari ini.
Omar berkata, Sarawak yang mempunyai lebih 30 kumpulan etnik telah lama menjadi contoh keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, dengan konsep Segulai Sejalai terus menjadi pegangan masyarakat dalam mengukuhkan perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
Beliau berkata, keunikan pendidikan di Sarawak turut terserlah menerusi pelbagai program integrasi seperti sambutan Hari Gawai, Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas serta pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).
Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada murid mengenali budaya rakan mereka secara langsung melalui persembahan kebudayaan, makanan tradisional, pakaian etnik, permainan tradisional serta pelbagai aktiviti kolaboratif.
“Pengalaman seperti ini membentuk pembelajaran yang autentik dan sukar diperoleh hanya melalui buku teks,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, pembangunan modal insan bukan hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah menekankan pembentukan karakter, jati diri dan nilai sivik.
Menurutnya, dalam konteks Sarawak, nilai saling menghormati antara kaum menjadi elemen penting bagi melahirkan generasi yang mampu hidup dalam masyarakat global tanpa kehilangan identiti tempatan.
Beliau turut menegaskan guru memainkan peranan sebagai agen perpaduan dengan membimbing murid memahami bahawa perbezaan bukanlah penghalang kepada kejayaan bersama.
Katanya, pendekatan pedagogi yang inklusif, pembelajaran berasaskan projek, aktiviti kokurikulum, khidmat komuniti serta pembelajaran kolaboratif mampu menggalakkan interaksi positif antara murid daripada pelbagai kaum.
“Pada masa sama, ibu bapa dan komuniti perlu menjadi rakan strategik dalam memperkukuh budaya harmoni dengan memupuk nilai menghormati orang lain, bertolak ansur, bekerjasama dan menghargai kepelbagaian secara konsisten di rumah sebelum diteruskan di sekolah.
“Apabila sekolah, keluarga dan masyarakat bergerak seiring, budaya perpaduan akan menjadi sebahagian daripada identiti murid Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sebenar Sarawak bukan hanya terletak pada kekayaan sumber alam dan kemajuan ekonomi, tetapi juga pada nilai kemanusiaan yang diwarisi turun-temurun sehingga menjadikan negeri ini dikenali sebagai model perpaduan masyarakat majmuk.
“Sebagai generasi pewaris masa depan, murid Sarawak perlu memahami bahawa keharmonian bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil amalan saling menghormati, saling memahami dan saling mempercayai yang perlu terus diperkasakan melalui pendidikan demi memastikan Sarawak kekal makmur, sejahtera dan bersatu padu,” katanya.





