KUCHING: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero mengalami kebakaran di bahagian enjin dalam kejadian di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chong Hua No. 4, Jalan Nanas, di sini, awal pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.31 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bergegas ke lokasi.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada 6.35 pagi, kira-kira lima kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan bahagian enjin Mitsubishi Pajero dengan anggaran kemusnahan sekitar 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran telah dipadamkan terlebih dahulu oleh pemilik kenderaan menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja overhaul dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Abdul Hakim itu ditamatkan pada 6.53 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Operasi membabitkan sembilan anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).





