Kebakaran tapak pelupusan sampah di Lingga, bomba giat kawal api

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LINGGA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sedang menjalankan operasi memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Lingga selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.02 malam ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 49 kilometer dari balai sebelum tiba pada 8.52 malam.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan kawasan tapak pelupusan sampah dengan anggaran keluasan kira-kira satu hektar.

Bagi memperkukuh operasi pemadaman, anggota yang sedang bercuti dipanggil bersedia di balai, manakala sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama empat anggota turut digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala operasi pemadaman masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.