MIRI: Kebakaran sampah di belakang sebuah rumah di Taman Tunku di sini petang tadi hampir merebak dan memusnahkan dua rumah berhampiran sebelum berjaya dipadamkan.
Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, sebuah rumah mengalami kerosakan sekitar dua peratus, manakala sebuah lagi rumah terjejas empat peratus akibat bahang kebakaran.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan timbunan sampah di belakang rumah.
“Api bagaimanapun telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pemilik rumah sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Anggota kemudian menjalankan pemeriksaan rapi di kawasan kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan api marak semula sebelum operasi ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Oleh Liong Chai Ling




