GLASGOW: Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan terpaksa mengharungi detik mencemaskan apabila kedua-dua kakinya mengalami kekejangan otot sebelum berjaya memenangi pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, hari ini.
Mohamad Aniq berkata, ia berlaku ketika sesi memanaskan badan sebelum beliau memulakan saingan dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.
Bagaimanapun, atlet berusia 24 tahun itu kekal tenang untuk menampilkan angkatan terbaik sekali gus menghadiahkan kilauan emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.

“Detik paling mencabar adalah ketika sesi memanaskan badan. Ketika tinggal dua lagi angkatan, kedua-dua kaki saya mengalami kekejangan. Dalam fikiran saya ketika itu, ‘masak, jangan sampai padam’, sebab sasaran saya memang mahu mendapatkan emas.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar, memang bergelut juga tadi, pada percubaan pertama saya takut ia (kekejangan) jadi balik, tapi bila angkatan pertama dah tak rasa (kejang), saya terus rasa yakin saya akan bawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Pada aksi hari ini, Mohamad Aniq mencatat angkatan keseluruhan 273 kilogram (kg), terdiri daripada 121kg dalam acara sentap (snatch) dan 152kg dalam acara angkat dan junam (clean and jerk).
Lebih manis,beliau turut memperbaharui dua rekod temasya menerusi acara angkat dan junam (clean and jerk) serta jumlah keseluruhan.
Beliau berkata kejayaan itu amat bermakna kerana bukan sahaja membolehkannya mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi Birmingham 2022, malah sekali lagi muncul sebagai penyumbang emas pertama negara di pentas Sukan Komanwel.
“Saya gembira sebab dapat membawa pulang pingat emas untuk Malaysia dan mempertahankan pingat emas pada edisi lepas. Sekali lagi saya menjadi orang pertama yang memenangi pingat emas pada temasya Komanwel ini,” katanya.
Pingat perak acara itu dirangkul atlet India, Rishikanta Singh Chanambam yang mencatat jumlah angkatan 264kg dan Joshua Amunga Mboya dari Kenya membawa pulang gangsa (260kg).
Kejayaan Mohamad Aniq turut menamatkan kemarau pingat emas kontinjen negara selepas Malaysia sebelum ini hanya meraih satu pingat gangsa menerusi jaguh angkat kuasa para (powerlifting), Bonnie Bunyau Gustin, dalam kelas ringan lelaki (lightweight).
Pada Birmingham 2022, Mohamad Aniq menghadiahkan emas pertama Malaysia selepas mengungguli kategori 55kg lelaki dengan jumlah angkatan 249kg.
Beliau ketika itu mencatat 107kg dalam acara sentap (snatch) dan 142kg dalam acara angkat dan junam (clean and jerk) yang merupakan rekod baharu temasya. – Bernama





