Warga emas terus aktif, usia bukan penghalang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Usia bukan penghalang untuk warga emas kekal aktif, mempelajari kemahiran baharu dan terus menyumbang kepada masyarakat, kata Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.

Beliau berkata, penglibatan aktif warga emas dalam pelbagai program kebudayaan, kesihatan dan kemasyarakatan penting dalam membentuk sebuah bandar yang inklusif serta mesra semua peringkat usia.

Menurutnya, penuaan aktif bukan hanya berkaitan kesihatan fizikal, tetapi turut merangkumi penyertaan sosial, pembelajaran sepanjang hayat dan hubungan berterusan dengan komuniti.

“Seiring dengan pertambahan populasi warga emas, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) komited membina sebuah bandar mesra warga emas yang membolehkan semua golongan menikmati kehidupan yang sihat, aktif dan bermakna,” katanya.

DATO Wee Hong Seng menyampaikan ucapan pada Persembahan Tarian Rakyat Festival Kuching 2026 di Stadium Hoki Negeri, petang tadi. Foto Adele Rissa

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persembahan Tarian Rakyat Festival Kuching 2026, di Stadium Hoki Negeri, petang tadi.

Katanya, MBKS menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun untuk warga emas, termasuk aktiviti tarian, program kesihatan, zumba, acara kebudayaan, ceramah pendidikan dan aktiviti rekreasi.

“Pengalaman dan kebijaksanaan warga emas terus memperkayakan komuniti, manakala semangat serta tenaga mereka menjadi inspirasi kepada generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata, Persembahan Tarian Rakyat yang menjadi sebahagian daripada Festival Kuching sejak lebih 20 tahun lalu terus berperanan sebagai wadah menyatukan masyarakat menerusi muzik, budaya dan persahabatan.

PESERTA warga emas mengambil bahagian dalam Persembahan Tarian Rakyat Festival Kuching 2026. Foto Adele Rissa

Katanya, setiap tarian bukan sekadar persembahan, sebaliknya membawa cerita yang mencerminkan tradisi, identiti dan nilai yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Beliau turut mengajak semua peserta tarian rakyat, khususnya warga emas, menyertai Kuching Zumba Fiesta yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos ini di Stadium Hoki Negeri.

Katanya, acara itu menyasarkan untuk mencipta rekod Buku Rekod Malaysia bagi penyertaan warga emas paling ramai dalam acara zumba.

“Saya berharap semua akan terus menunjukkan semangat komuniti dengan menyertai acara bermakna ini dan membuktikan bahawa usia bukan batasan untuk menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan ceria,” katanya.

Oleh Adele Rissa