Vietnam larang keras sebarang bentuk buruh paksa – Kementerian Luar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

HANOI: Vietnam melarang keras sebarang bentuk buruh paksa dan mematuhi sepenuhnya peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), perjanjian antarabangsa serta perjanjian perdagangan bebas yang disertainya, kata jurucakap Kementerian Luar Pham Thu Hang.

Menjawab soalan wartawan berhubung keputusan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk mengenakan tarif baharu sebanyak 12.5 peratus ke atas barangan dari semua ekonomi yang disiasat mengikut Seksyen 301, Hang berkata kerajaan Vietnam mengeluarkan Dekri 292/2026/ND-CP pada 22 Julai 2026 yang melarang import barangan yang diperoleh atau dihasilkan, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya, melalui buruh paksa, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

JURUCAKAP Kementerian Luar Negeri Vietnam, Pham Thu Hang. Foto agensi

Hang berkata keputusan USTR itu tidak mencerminkan sepenuhnya keadaan sebenar serta usaha Vietnam untuk mencegah, mengurangkan dan menghapuskan buruh paksa, termasuk larangan mengimport barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Beliau berkata Vietnam akan terus bekerjasama dengan AS dalam semangat konstruktif dan kerjasama, sambil menggesa negara itu mengambil kira sepenuhnya langkah yang telah dilaksanakan Vietnam apabila membuat pelarasan tarif ke atas barangan negara berkenaan, selaras dengan keadaan sebenar serta usaha perundangan dan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan. – Bernama