KUCHING: BIZNETWORK Fiesta Sarawak 2026 Edisi Kedua menyasarkan jualan RM1 juta sepanjang tiga hari penganjurannya menerusi penyertaan 32 usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kejayaan program seumpamanya di Semenanjung serta sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak hari pertama penganjuran.

“Jualan pada hari pertama sahaja mencecah RM228,190 dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada hari kedua serta hari terakhir program.
“BIZNETWORK Fiesta bukan sekadar menjadi platform jualan, malah membantu usahawan memperkukuh kemahiran pemasaran digital termasuk menerusi sesi jualan secara langsung di TikTok dengan kerjasama platform berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis BIZNETWORK Fiesta Sarawak 2026 Edisi Kedua di sini, hari ini.

Tambah beliau, program itu turut memberi pendedahan kepada usahawan mengenai pendekatan pemasaran baharu yang membolehkan mereka menerima maklum balas pelanggan secara terus sekali gus memperluaskan capaian pasaran produk.
“Enam produk baharu turut dilancarkan sepanjang program ini menerusi penambahbaikan dari segi pembungkusan, perisa dan inovasi bagi meningkatkan daya saing produk usahawan bimbingan MARA.

“Buat julung kalinya MARA membawa Pertunjukan Fesyen MARA (MiF) ke Sarawak sebagai platform mengetengahkan bakat usahawan fesyen tempatan yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan berbanding di Semenanjung.
“Pertunjukan ini turut membuktikan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA berjaya melahirkan tenaga mahir dalam bidang fesyen yang kini menggabungkan kreativiti dengan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan rekaan,” jelasnya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian kemudahan pembiayaan dan geran pembangunan MARA berjumlah RM333,000 kepada empat usahawan serta mengadakan lawatan ke reruai pameran.
Sepanjang tiga hari penganjuran, program anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan MARA itu menghimpunkan 32 usahawan Bumiputera dari seluruh Sarawak dengan pelbagai pengisian termasuk padanan perniagaan, promosi jualan menerusi TikTok Live, demonstrasi produk, pelancaran produk baharu dan Pertunjukan Fesyen MARA.
Oleh Masrin Affirah





