KUCHING: Pihak polis menjalankan siasatan bagi mengesan identiti individu yang terjun dari Jambatan Darul Hana di sini baru-baru ini hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kiching, ACP Alexson Naga Chabu berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kes Insp Aliff di talian 013-3115854.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan sebegitu gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM 500.00 atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang perbuatan yang boleh membahayakan nyawa diri atau keselamatan orang lain.
Beliau mengesahkan telah menerima satu laporan semalam berhubung kejadian itu sebagaimana dipaparkan dalam rakaman video berdurasi 0.28 saat yang tular di media sosial.
Semalam, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memandang serius tindakan seorang individu yang dipercayai melakukan aksi berbahaya dengan terjun dari Jambatan Darul Hana, seperti yang tular menerusi video di media sosial sejak Khamis lalu.
Oleh Masrin Affirah





