MiF angkat warisan Sarawak dalam citra fesyen kontemporari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kehalusan seni keringkam, keunikan motif etnik serta sentuhan moden berpadu di pentas Pertunjukan Fesyen MARA (MiF), yang menjadi antara tarikan utama BIZNETWORK Fiesta Sarawak Edisi Kedua.

Mengangkat tema “Borneo Reimagined – Meraikan Warisan Pribumi Sarawak dalam Citra Fesyen Kontemporari”, pertunjukan itu membawa penonton menghayati warisan budaya Sarawak yang diterjemahkan dalam bentuk fesyen moden tanpa mengetepikan identiti asalnya.

Setiap helaian busana yang diperagakan bukan sekadar pakaian, malah menjadi medium penceritaan mengenai kepelbagaian budaya masyarakat Borneo menerusi corak, sulaman, tenunan serta pemilihan fabrik yang diinspirasikan daripada warisan tempatan.

Sorotan utama pertunjukan itu ialah penampilan khas pereka fesyen tersohor negara, Dato Tom Abang Saufi, yang mempersembahkan koleksi eksklusif dengan sentuhan elegan serta rekaan bertaraf antarabangsa.

Turut memeriahkan pentas ialah lima lagi pereka yang mewakili bakat kreatif Sarawak, iaitu Danny Zulkifli menerusi jenama D Keringkam, Norazita Selani (Kumang & Co), Hafiz Zulkifli (Hafiz Dressmaker), Dato Raymond Jolly (Von Jolly) serta Dahliani Mingai daripada Giatmara Mambong.

DATUK Rubiah Wang bergambar kenangan bersama pereka fesyen yang menjayakan Pertunjukan Fesyen MARA sempena BIZNETWORK Fiesta Sarawak Edisi Kedua, Kuching.

Kesemua pereka memperagakan lima rekaan eksklusif masing-masing yang diinspirasikan daripada keindahan warisan Borneo, sekali gus menampilkan tafsiran baharu yang lebih segar dan berpotensi untuk dipasarkan.

Keistimewaan pertunjukan itu turut terserlah menerusi penglibatan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada Giatmara Mambong yang tampil sebaris dengan pereka profesional, sekali gus membuktikan institusi latihan kemahiran mampu melahirkan generasi baharu dalam industri fesyen.

Langkah tersebut memperlihatkan usaha MARA dalam membuka ruang kepada pelatih TVET untuk mempamerkan hasil kreativiti mereka di pentas berprestij bersama nama-nama besar industri.

Sepanjang pertunjukan berlangsung, pentas dihiasi dengan permainan cahaya dan muzik yang menghidupkan suasana, manakala setiap kemunculan peragawan dan peragawati menerima tepukan gemuruh daripada pengunjung.

Gabungan elemen tradisional seperti keringkam, manik dan motif etnik dengan potongan kontemporari menyerlahkan keunikan identiti fesyen Sarawak yang semakin mendapat tempat dalam industri kreatif.

Pertunjukan itu bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan pereka tempatan, malah membuktikan warisan budaya negeri mampu diangkat sebagai produk kreatif yang mempunyai nilai komersial tinggi.

Pertunjukan Fesyen MARA (MiF) sekali gus memperlihatkan bagaimana fesyen boleh menjadi jambatan yang menghubungkan tradisi dengan inovasi, selain memperkenalkan identiti Borneo kepada khalayak yang lebih luas.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Ahli Majlis MARA, Ajar @ Siti Ajar Yasin, yang bersama-sama menyaksikan persembahan fesyen berkenaan.

Oleh Masrin Affirah