LAWAS: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) terus memperkasa sektor pendidikan melalui peruntukan RM160 juta untuk pembangunan infrastruktur di Bahagian Limbang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu peruntukan tersebut adalah untuk kerja baikpulih sekolah dan bina baru sekolah tertentu yang dalam keadaan daif.
“Bantuan kita ialah untuk membantu terutama dari segi pembangunan infrastruktur pendidikan dan kita telahpun agihkan sejumlah RM160 juta untuk program-program pembaikan dan pembinaan baru.

Ada antaranya pembinaan baru untuk kemudahan-kemudahan di sekolah ini di seluruh Bahagian Limbang,” katanya kepada media selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak (FTES) di Stadium Tertutup Lawas hari ini.
Menurutnya peruntukan berjumlah RM160 juta telah disediakan menerusi Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) untuk baik pulih sekolah, bina baru beberapa sekolah, membaiki dewan sekolah termasuk kediaman guru.
Seterusnya beliau memberitahu bahawa walaupun tanggungjawab terhadap pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan tetapi kerajaan Sarawak tidak dapat berdiam diri apabila mendapati beberapa sekolah di negeri ini memerlukan bantuan segera.
Terdahulu Awang Tengah memberitahu bahawa pendidikan adalah teras pembangunan berterusan Sarawak.

Justeru Yayasan Sarawak melalui Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES ini diharap membuka peluang baru untuk anak-anak di Lawas mengetahui peluang pendidikan percuma yang diberikan oleh kerajaan Sarawak.
“Ini adalah sesuatu yang begitu penting dalam usaha kita membangunkan modal insan dan saya berharap melalui program ini mereka akan tahu bidang-bidang apa yang harus diberi keutamaan berdasarkan kepada minat mereka bakat mereka dan juga yang penting untuk masa depan mereka,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas.
Oleh Adeng Edrus




