KABONG: Projek pembangunan di Pantai Tanjung Kembang di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Kabong menerusi penyediaan kemudahan yang lebih moden serta lengkap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, semua agensi pelaksana dan kontraktor yang dilantik perlu memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan sehingga siap sepenuhnya.
Beliau menegaskan pemantauan rapi perlu dilakukan sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan setiap fasa projek berjalan lancar dan tarikh siap tidak tersasar daripada perancangan asal.

“Projek pembangunan BDDA itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan DUN Kabong, khususnya dalam meningkatkan kemudahan awam, merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Cadangan Reka Bentuk bagi projek pembinaan baharu dan naik taraf fasiliti di Pantai Tanjung Kembang serta cadangan pembinaan medan selera dan inap desa di kawasan berkenaan yang berlangsung di Dewan RTP, Pantai Tanjung Kembang, semalam.
Dalam mesyuarat itu, taklimat turut memberi tumpuan kepada status semasa pelaksanaan projek, perkembangan reka bentuk serta perancangan pelaksanaan bagi memastikan setiap komponen pembangunan dapat direalisasikan mengikut jadual ditetapkan.
Chee Kadir berkata, Pantai Tanjung Kembang merupakan antara destinasi pelancongan utama di Kabong yang terkenal sebagai lokasi penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kabong.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan projek berkenaan akan mewujudkan wajah baharu Pantai Tanjung Kembang yang lebih moden, menarik dan mesra pengunjung, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan itu kepada pelancong dari dalam dan luar Sarawak.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan seperti medan selera dan inap desa turut dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan tempatan selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Menurutnya, pembangunan itu juga diyakini mampu meningkatkan tempoh penginapan pelancong di Kabong, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti menerusi sektor perkhidmatan, peruncitan dan pelancongan.
Pada masa sama, Chee Kadir merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kelulusan projek pembangunan BDDA bagi kawasan DUN Kabong.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan dalam meluluskan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat, selain memperkukuh pembangunan serta potensi pelancongan di Kabong.
Dengan pelaksanaan projek berkenaan, Pantai Tanjung Kembang dijangka muncul sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan yang lebih berdaya saing, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta pembangunan mampan di kawasan Kabong.
Oleh Adi Safarman



