SIMANGGANG: Kempen Derma Darah sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman berjaya mengumpulkan 70 beg darah dalam program yang berlangsung di Dewan Che Chuan Khor Sri Aman, pagi tadi.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor dan Pemuda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Aman sebagai usaha membantu menampung keperluan bekalan darah di hospital, di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
Kempen itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 87 peserta yang terdiri daripada warga kerja IPD Sri Aman dan orang awam tampil menyertai program berkenaan.
Hasil komitmen para penderma, sebanyak 70 beg darah berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada hospital dan pihak yang memerlukan, sekali gus membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Majlis turut dihadiri Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam bersama Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Sri Aman, Olivia Nayun Kunsu.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Neil Beginda serta Temenggung Kuek Aik Seng bagi memberikan sokongan terhadap penganjuran program tersebut.
Selain kempen derma darah, orang ramai turut memanfaatkan Perkhidmatan Saringan Kesihatan Kanser Bergerak MAKNA 2026 dan Perkhidmatan Mamogram Bergerak yang disediakan secara percuma.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal penyakit kanser.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie yang meluangkan masa menyantuni peserta serta menyatakan sokongan terhadap penganjuran kempen tersebut.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma darah, agensi yang terlibat, sukarelawan serta pihak yang memberikan komitmen dalam menjayakan program berkenaan, dengan harapan inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan bekalan darah.
Oleh Adi Safarman





