Curi dan lupus motosikal curi, lelaki terima hukuman penjara 50 bulan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 50 bulan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membabitkan kesalahan mencuri motosikal, membantu melupuskan motosikal curi serta melakukan jenayah itu bersama individu lain di Mahkamah Majistret Sibu semalam.

Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana membantu melupuskan motosikal curi.

Kesalahan itu dipercayai dilakukan antara Mei hingga Julai tahun ini di sekitar Daerah Sibu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa bersama seorang lagi tertuduh berusia 24 tahun atas pertuduhan membantu melupuskan motosikal curi mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi kesalahan yang dilakukan pada Jun lalu.

Dalam satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang suspek yang masih bebas kerana mencuri sebuah motosikal di belakang sebuah kelab malam di Jalan Lanang, Sibu pada 19 Mei lalu kira-kira 11.14 malam mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 80 bulan serta denda RM6,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Bagaimanapun, dua daripada hukuman penjara selama 18 bulan diperintahkan berjalan serentak, menyebabkan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 50 bulan bermula dari tarikh sabitan. 

Tertuduh juga gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Sementara itu, tertuduh kedua yang berusia 24 tahun turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan membantu melupuskan motosikal curi dan dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 30 bulan serta denda RM6,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman terhadap tertuduh kedua berjalan serentak, sekali gus menjadikan tempoh hukuman penjara yang perlu dijalani adalah 24 bulan. 

Tertuduh kedua juga gagal membayar denda yang dikenakan. Kedua-dua tertuduh kini menjalani hukuman di Penjara Sibu.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang warga Indonesia berusia 30 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki motosikal curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Julai 2026 kira-kira 1.20 petang di kawasan sebuah kantin di Jalan Sibu-Tanjung Manis, Sibu. 

Siasatan mendapati motosikal berkenaan dipercayai dibeli daripada tertuduh pertama, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh sabitan dan mengarahkannya menjalani hukuman di Penjara Sibu.

Oleh Adi Safarman

30 warga asing ditahan dalam Ops JIM Sarawak

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 30 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi operasi penguatkuasaan di