Projek Mesra Rakyat tingkat sistem saliran Kampung Tanjung Tengah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARATOK: Projek pembinaan baharu parit di Kampung Tanjung Tengah di sini siap dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus meningkatkan sistem saliran selain menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat menerusi penyediaan kemudahan infrastruktur asas, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, cadangan pembinaan parit baharu itu dikemukakan oleh Ketua Kaum Kampung Tanjung Tengah sebelum mendapat perhatian pihak berkaitan untuk dilaksanakan.

“Syukur Alhamdulillah, keperluan pembinaan baharu parit di kawasan tersebut telah dikemukakan oleh Ketua Kaum dan berjaya dilaksanakan serta disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

PENYERAHAN PROJEK… Kaunselor Kasdi Pandi mewakili ADUN Kalaka, Mohamad Duri pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Baharu Parit di Kampung Tanjung Tengah, Saratok. Foto ADUN Kalaka

Menurut beliau, setiap permohonan pembangunan yang diterima akan diteliti dan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keutamaan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati penduduk di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Majlis penyerahan projek siap itu diwakili Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, yang hadir bagi pihak Mohamad Duri.

Projek berkenaan merupakan Projek Mesra Rakyat yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong selaku agensi pelaksana.

Kerja-kerja pembinaan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik dengan pemantauan oleh Pejabat Daerah Saratok bagi memastikan projek berkenaan memenuhi spesifikasi serta piawaian ditetapkan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil JPS Bahagian Betong dan Saratok, wakil Pejabat Daerah Saratok serta Ketua Kaum Kampung Tanjung Tengah, Khairil.

Pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tanjung Tengah menerusi sistem saliran yang lebih baik, sekali gus membantu mengurangkan risiko takungan air serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Oleh Adi Safarman