30 warga asing ditahan dalam Ops JIM Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 30 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi operasi penguatkuasaan di 21 lokasi sekitar Kuching dan kawasan berhampiran pada 23 hingga 24 Julai lalu.

Operasi melibatkan Ops Selera, Ops Kutip, Ops Belanja, Ops Gegar dan Ops Sapu itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuching hasil aduan awam serta risikan bagi mengesan dan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.

Operasi yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 2.00 pagi itu melibatkan pemeriksaan di Kota Sentosa, Tapah, Siburan, Serian, Kota Samarahan, Batu Kawa, Tabuan Jaya dan Pending.

Sepanjang operasi, seramai 117 individu daripada pelbagai warganegara telah diperiksa.

Hasil pemeriksaan mendapati 30 warga asing dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), selain Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Operasi tertumpu kepada pemeriksaan premis kedai makan, premis yang disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian serta pusat hiburan yang dikenal pasti menerusi maklumat risikan.

Dalam satu kenyataan di media sosial rasminya, JIM Sarawak berkata, tindakan penguatkuasaan itu merupakan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen, di samping membanteras penyalahgunaan pas dan permit oleh warga asing.

JIM Sarawak turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh negeri dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen.

Pada masa sama, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan demi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

Oleh Afiq Sallehi