LAWAS: Sektor pembinaan terus berdepan kelembapan sehingga menjejaskan banyak projek pembangunan dan infrastruktur di seluruh negara.
Penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia turut menyaksikan beberapa sektor pembuatan, pembinaan terjejas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, banyak projek tergendala dan ditangguhkan demi untuk menjaga keselamatan pekerja selain aspek bekalan bahan binaan yang terhad.
Bagi Sarawak banyak projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, Projek Rakyat, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan ada juga sebahagian Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang dibiayai Kerajaan Sarawak banyak yang tergendala.
Ini adalah disebabkan kesan yang berterusan daripada pandemik Covid-19 yang masih membelenggu dunia.
Namun demikian, terdapat pihak yang hidup mereka sentiasa berpolitik sepanjang masa telah memperbesarkan perkara ini sebagai modal politik.
“Adalah setengah pihak yang tidak ada modal lain untuk hendak memanjangkan agenda politik mereka dengan mengatakan kerajaan tidak mengotakan janji,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran MRP DUN Bukit Sari di Hotel Seri Malaysia, Lawas di sini kelmarin.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, selain projek tertangguh banyak syarikat yang mengalami masalah tenaga kerja disebabkan pintu sempadan ditutup selain kebimbangan penularan Covid-19 ini.
“Penularan Covid-19 ini juga telah menyebabkan banyak syarikat berdepan dengan masalah seperti kekurangan bahan binaan dan pengangkutan,” katanya.
Oleh itu beliau terus menggesa agar penduduk tempatan yang memiliki kemahiran untuk merebut peluang memenuhi keperluan pekerjaan dalam projek-projek tersebut sekali gus dapat mengembangkan lagi ekonomi setempat.
Awang Tengah juga mahu masyarakat setempat melihat setiap peluang dan ruang yang ada pada masa sekarang untuk direbut bagi menambah pendapatan keluarga.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas.
Oleh ADENG EDRUS