Regata Baram lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
CENDERAMATA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima cenderamata daripada Datuk Dr Penguang Manggil.

MARUDI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Regata Baram sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama yang terus menjadi kekuatan utama Sarawak sejak sekian lama.

Beliau berkata, regata yang disifatkannya sebagai ‘ibu segala regata’ itu bukan sahaja mempunyai nilai sejarah yang tersendiri, malah menjadi platform yang menyatukan pelbagai budaya dalam suasana harmoni.

“Regata Baram adalah regata yang istimewa kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam lipatan sejarah Sarawak.

“Keunikan Regata Baram ialah pertemuan pelbagai budaya yang dapat bergerak seiring mengikut irama yang sama. Walaupun berbeza budaya, kita tetap bergerak dalam satu haluan untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama. Tahniah kepada masyarakat Baram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Regata Baram 2026 di Dataran Marudi, hari ini.

Abang Johari berkata, sambutan yang diberikan masyarakat daripada pelbagai kaum membuktikan semangat perpaduan yang menjadi identiti Baram terus utuh dan wajar dipertahankan.

Menurutnya, pembangunan tebingan (waterfront) Marudi yang menjadi lokasi baharu penganjuran Regata Baram turut melambangkan perubahan dan kemajuan yang sedang dinikmati kawasan itu.

“Dahulu regata diadakan berhampiran banggunan lama, tetapi hari ini kita dapat menganjurkannya di tebingan sungai yang indah yang telah kita bangunkan. 

“Ini menggambarkan perubahan yang sedang berlaku dan insya-Allah kita akan terus membangunkan Baram pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar terus memelihara keamanan dan perpaduan kerana kedua-duanya merupakan asas penting kepada pembangunan negeri.

“Walau apa juga agama yang kita anuti, kita memohon kepada Tuhan Yang Maha Esa agar Sarawak terus menikmati keamanan. Kalau keadaan menjadi kacau-bilau, bagaimana kita hendak menganjurkan regata seperti ini.

“Marilah kita terus mempertahankan perpaduan yang kita miliki demi masa depan Sarawak,” katanya.