Kreativiti, inovasi pemacu kejayaan Karnival Rindok Ati Bekenu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ALBUM… Datuk Rosey Yunus merakam album bersama ahli jawatankuasa Karnival Rindok Ati pada Majlis Apresiasi Karnival Rindok Ati Bekenu yang diadakan di sebuah hotel di Miri, petang semalam.

MIRI: Kreativiti dan inovasi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa penganjur menjadi antara faktor utama kejayaan penganjuran Karnival Rindok Ati Bekenu apabila beberapa acara tambahan berjaya dilaksanakan secara spontan tanpa menjejaskan kelancaran program.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, karnival tersebut turut menerima sokongan padu daripada masyarakat setempat serta pihak luar melalui pelbagai bentuk sumbangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Apresiasi Karnival Rindok Ati Bekenu yang diadakan di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Menurut beliau, antara aktiviti yang berjaya dianjurkan secara spontan ialah konvoi bermotor, penampilan tambahan penyanyi bagi acara hiburan serta pertandingan motosikal berlampu.

“Inilah antara perkara yang membuktikan ahli jawatankuasa kita sangat kreatif dan inovatif. Walaupun berdepan pelbagai situasi, mereka tetap mampu melaksanakan program dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, usaha dan kreativiti ahli jawatankuasa itu wajar dibanggakan kerana berjaya menarik lebih ramai pengunjung sekali gus memeriahkan suasana sepanjang Karnival Rindok Ati di pekan Bekenu.

Dalam pada itu, Rosey memaklumkan satu lagi acara berskala besar iaitu pertandingan tarik tali akan dianjurkan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar ahli jawatankuasa menyediakan kertas kerja bagi penganjuran pertandingan berkenaan.

“Saya berharap ahli jawatankuasa dapat mengatur dan melaksanakan pertandingan yang dicadangkan itu sebelum atau selewat-lewatnya pada bulan September,” katanya.

Pengerusi Pengelola Karnival Rindok Ati, Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim, berkata kepada Utusan Sarawak bahawa program lima hari itu berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Oleh Adum Liu