KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Regata Samarahan masih belum dapat diadakan tahun ini berikutan keadaan Tebingan Tambirat yang runtuh dan belum selamat digunakan sebagai lokasi acara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun beliau sememangnya berhasrat menghidupkan semula penganjuran regata tersebut, faktor keselamatan perlu diberi keutamaan.
“Tahun ini belum dapat kerana ekoran daripada apa yang berlaku di tebingan sungai. Tempat yang kita telah kenal pasti sebagai lokasi Regata Samarahan, iaitu waterfront, telah runtuh. Jadi untuk kita mengatur regata, keadaan itu masih tidak begitu selamat untuk orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Semarak Kebersihan Masjid anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) menerusi Pusat Penerangan Islam (IIC) di Masjid Darul Rahmah, Kampung Tambirat, pagi ini.
Mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengenai kononnya Regata Samarahan akan diadakan dalam masa terdekat, Abdul Karim menegaskan maklumat tersebut tidak benar dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai khabar angin yang tersebar.
“Saya ada juga melihat gambar itu. Pandai mereka meletakkan perkataan ‘rumour’. Memang ada orang yang membuatnya, tetapi itulah hakikatnya apabila media sosial terbuka kepada sesiapa sahaja untuk memuat naik apa-apa maklumat. Jadi pandai-pandailah kita menilai sama ada sesuatu maklumat itu benar ataupun tidak,” katanya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan Premier Sarawak telah bersetuju supaya Tebingan Tambirat dibina semula dan dipanjangkan meliputi keseluruhan tebing Kampung Tambirat, dengan proses tender dijangka dibuka dalam masa terdekat.
Menurutnya, sebaik sahaja projek itu siap kelak, kerajaan akan meneliti semula cadangan untuk menganjurkan Regata Samarahan.
“Memang niat saya untuk mengadakan regata, tetapi buat masa ini belum lagi. Insya-Allah satu ketika nanti,” katanya.
Sebelum ini, projek Tebingan Tambirat Fasa 1 mengalami kegagalan struktur apabila sebahagian tebing runtuh sebelum siap sepenuhnya, sekali gus menyebabkan projek berkenaan tertangguh dan tidak dapat digunakan sebagai lokasi penganjuran Regata Samarahan.
Bagi meneruskan pembangunan kawasan tersebut, kerajaan Sarawak telah meluluskan pelaksanaan Tebingan Tambirat Fasa 2 dengan peruntukan melebihi RM150 juta.
Projek sepanjang kira-kira 1.2 kilometer itu akan dibina semula dengan spesifikasi dan penelitian teknikal yang lebih rapi bagi memastikan keselamatan serta ketahanan strukturnya.
Abdul Karim sebelum ini turut memaklumkan pembangunan baharu itu akan menyediakan pelbagai kemudahan awam termasuk laluan pejalan kaki, ruang rekreasi dan kawasan perniagaan, selain berpotensi menjadi lokasi tetap bagi penganjuran Regata Samarahan serta aktiviti komuniti pada masa hadapan.
Oleh Afiq Sallehi





