Hidangan udang galah Kuala Lawas jadi buruan, pelancong Brunei tempah awal

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LAWAS: Kesanggupan pelancong Brunei membuat tempahan meja sehingga dua minggu awal untuk menikmati hidangan berasaskan udang galah di Norain Kitchen & Catering menunjukkan Kuala Lawas semakin mencipta nama sebagai destinasi gastronomi rentas sempadan.

Pemiliknya Norain Abdul Rahman berkata ia paling ketara pada hujung minggu dan musim cuti sekolah apabila gerai di Teratak Warisan Kampung Dato Kuala Lawas, kira-kira sejam dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mengkalap, dipenuhi pelanggan dari Brunei, selain Sabah, Miri dan penduduk tempatan.

KUETIAU Udang Galah antara menu popular di Norain Kitchen & Catering di Teratak Warisan Kampung Dato Kuala Lawas. Kesanggupan pelancong Brunei membuat tempahan meja sehingga dua minggu awal untuk menikmati hidangan berasaskan udang galah di Norain Kitchen & Catering menunjukkan Kuala Lawas semakin mencipta nama sebagai destinasi gastronomi rentas sempadan. Foto BERNAMA

“Mereka ingin menikmati hidangan berasaskan udang galah sungai segar. Biasanya pelanggan Brunei membuat tempahan dua atau tiga hari lebih awal, malah ada yang menempah sehingga dua minggu sebelum, terutama ketika cuti sekolah kerana bimbang kedai penuh,” katanya kepada Bernama.

Wanita berusia 50 tahun itu berkata udang galah dalam masakan seperti mi bandung, mi goreng, laksa Sarawak dan nasi penyet selain udang galah rebus serta udang galah masak kampung antara hidangan paling mendapat sambutan.

MI Bandung Udang Galah merupakan antara hidangan yang paling mendapat sambutan di Norain Kitchen & Catering di Teratak Warisan Kampung Dato Kuala Lawas. Foto BERNAMA

Beliau berkata telah mengusahakan perniagaan masakan itu bersama-sama keluarganya kira-kira  20 tahun lepas di Pasar Besar Lawas sebelum berpindah ke lokasi berhampiran Sungai Merapok dua tahun lepas.

Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata lokasi baharu membolehkan pelanggan menjamu selera dalam suasana lebih selesa sambil menikmati panorama matahari terbenam Sungai Merapok yang turut menjadi daya tarikan kepada pengunjung.

“Kami mengambil stok udang dari sekitar Lawas untuk mengekalkan kesegaran dan kualiti kerana isinya lebih manis. Kalau diambil dari luar kawasan, tempoh penghantaran lebih lama,” katanya.

PEMILIK Norain Kitchen & Catering, Norain Abdul Rahman bercakap kepada BERNAMA di Teratak Warisan Kampung Dato Kuala Lawas. Foto BERNAMA

Bagaimanapun, Norain berkata bekalan bergantung kepada musim dan keadaan sungai, yang boleh mencecah antara 10 hingga 20 kilogram (kg) sehari pada musim udang galah manakala semasa luar musim, jumlah itu ada kalanya hanya sekitar satu hingga dua kg sehari.

Norain berkata harga hidangan ditawarkan antara RM20 hingga RM35 sepinggan mengikut saiz udang galah serta musim dengan pendapatan harian boleh mencecah ribuan ringgit pada hujung minggu dan cuti sekolah. 

Wanita itu juga berharap lebih ramai pelancong menjadikan Kuala Lawas sebagai destinasi persinggahan bukan sahaja untuk menikmati udang galah, malah merasai sendiri keunikan suasana daerah paling utara di Sarawak itu.

PELANGGAN Norain Kitchen & Catering, Sairah Ahmad bercakap kepada BERNAMA di Teratak Warisan Kampung Dato Kuala Lawas. Beliau berkata kehadiran pengunjung dari Brunei yang semakin meningkat menjadikan Kuala Lawas sebagai antara destinasi persinggahan pilihan bagi mereka yang ingin menikmati hidangan hasil sungai tempatan. Foto BERNAMA

“Harapan saya supaya lebih ramai datang menikmati hidangan udang galah dan pulang dengan pengalaman menyeronokkan di Kuala Lawas,” katanya.

Sementara itu, anak jati Lawas Sairah Ahmad, 40, berkata kehadiran pengunjung dari Brunei yang semakin meningkat menjadikan Kuala Lawas sebagai antara destinasi persinggahan pilihan bagi mereka yang ingin menikmati hidangan hasil sungai tempatan.

“Saya juga bawa kawan-kawan dari Kuala Lumpur untuk merasai menu berasaskan udang galah di sini. Peminat udang galah memang sesuai datang semasa musimnya.

“Lokasi juga berhampiran masjid, jadi lebih mudah untuk pelanggan luar singgah makan sebelum mereka meneruskan perjalanan,” katanya. – Bernama