PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akan melancarkan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI JPPM 2026 di Kampung Pendam, Sadong Jaya, Sarawak pada 1 Ogos melibatkan peruntukan RM600,000 bagi dua inisiatif tersebut.
JPPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kampung Pendam dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program kampung angkat manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pendam menjadi penerima manfaat program sekolah angkat jabatan itu pada tahun ini.
“Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan untuk pelbagai projek penambahbaikan kemudahan asas keselamatan dan keselesaan komuniti selain meningkatkan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran di sekolah.
“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen JPPM dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI menerusi usaha memperkasakan komuniti, meningkatkan kesejahteraan penduduk dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” menurut kenyataan itu.

JPPM memaklumkan persiapan menjelang majlis pelancaran sedang giat dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak sekolah, kepimpinan setempat serta komuniti Kampung Pendam.
Selain itu, Ketua Pengarah JPPM Datuk Mohd Zulfikar Ahmad telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan program di Sarawak pada 24 Julai bagi memuktamadkan pelbagai aspek untuk memastikan kelancaran majlis.
JPPM memaklumkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan disediakan sempena majlis itu termasuk Jualan Rahmah MADANI, pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan bergerak, pemeriksaan kesihatan dan cabutan bertuah.
“JPPM turut mengundang penduduk Kampung Pendam serta masyarakat sekitar untuk hadir memeriahkan majlis dan mendapatkan manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memaklumkan pelaksanaan dua program tersebut mengguna pakai pendekatan Whole of Government yang menggabungkan kepakaran dan sumber pelbagai pihak bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara tersusun serta memenuhi keperluan komuniti setempat.
Maklumat lanjut mengenai majlis boleh diperoleh menerusi platform media sosial rasmi JPPM di Facebook (facebook.my/jppm.my) dan WhatsApp JPPM. – Bernama





