SRI AMAN: Sarawak dilihat sedang berada di landasan yang betul dalam memacu pelbagai projek pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, ia terbukti apabila Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu melaksana projek-projek mega dalam negeri ini untuk rakyat semenjak mula berdikari pada tahun 2018.
“Apabila GPS ditubuh pada 2018, kita telah menerima asakan demi asakan daripada kerajaan pusat yang baharu ketika itu sehinggalah membuatkan Sarawak berdepan detik sukar untuk melaksana dan mengurus projek pembangunan dalam negeri ini.
“Namun mujurlah pengalaman mentadbir dan kecekapan mengurus belanjawan negeri telah membolehkan kita mengambil alih dan menyambung pelaksanaan projek-projek mega yang dirancang bersama dengan kerajaan pusat terdahulu antaranya Projek Jambatan Batang Lupar,” kata beliau.
Selain membatal projek mega untuk Sarawak, kerajaan pusat yang baharu itu juga kata Harden turut bertindak mengkaji semula peruntukan yang dilulus untuk melaksana Projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Kajian berkenaan kata Harden telah telah menyebabkan ‘Project Delivery Partner’ (PDP) dimansuh hingga menyebabkan ramai belia yang terlibat dalam projek lebuh raya tersebut dibuang kerja.
“Justeru saya menasihat rakyat Sarawak agar menilai semula situasi berkenaan dan berharap mereka tidak mengulangi kesilapan seperti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang,” kata Harden.
Terdahulu beliau bersama rombongan telah pun mengadakan lawatan ke tapak-tapak cadangan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Tapak cadangan projek yang pertama dilawati beliau adalah membaik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membina jalan akses ke tepian sungai dalam Kampung Sebangkoi, Undop.
Setelah melawati kawasan tersebut, Harden kemudiannya singgah di Dewan Komuniti, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Paku untuk meninjau tapak cadangan membina anjung (awning) di kemudahan berkenaan.
ADUN Simanggang itu kemudiannya mengakhiri lawatan ke tapak cadangan projek membina penyambungan di bahagian depan dewan bagi memaksimumkan ruang teduh untuk pengguna daripada cuaca hujan atau panas ketika berlangsung sesuatu program di situ.
Wakil agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman juga turut hadir dan antaranya ialah Michelle Kristie Felix, Norasyimah Entasan dan Federick Jonathan Isau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG