KUCHING: Sebuah kedai elektronik di tingkat bawah bangunan tiga tingkat di Jalan Batu Kawa, Bandar Baru Batu Kawa, di sini, terbakar petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.24 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bergegas ke lokasi bersama bantuan daripada BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan sebelum tiba pada 3.35 petang.
“Kebakaran melibatkan sebuah kedai elektronik di tingkat bawah bangunan kekal tiga tingkat berkeluasan kira-kira 15 x 30 kaki persegi.
“Operasi pemadaman sedang dijalankan menggunakan satu aliran hos daripada pam jentera dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran,” menurut laporan awal JBPM Sarawak.
Menurut Komander Operasi, PBK I Gajau Jemat, tumpuan operasi adalah mengawal kebakaran bagi mengelakkannya merebak ke premis bersebelahan.
Operasi membabitkan 25 anggota dengan kekuatan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan dan operasi pemadaman masih diteruskan.
Oleh Afiq Sallehi




