Sarawak, Singapura teroka kerjasama baharu perkasa wanita

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Sri Fatimah Abdullah (tengah) dan delegasi Rangkaian Integrasi Wanita Persatuan Rakyat (PAWIN), Singapura selepas majlis kunjungan hormat di Wisma Wanita, hari ini. Foto Adele Rissa 

PETRA JAYA: Sarawak dan Singapura berpotensi meneroka kerjasama baharu dalam usaha memperkasa wanita menerusi perkongsian pengetahuan, pertukaran kepimpinan, program pembinaan kapasiti serta kerjasama komuniti.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, potensi kerjasama itu penting dalam memperkukuh usaha kedua-dua pihak memperkasa wanita, menggalakkan kesukarelawanan dan meningkatkan penyertaan komuniti.

“Terdapat banyak ruang untuk kerjasama lanjut antara organisasi di Sarawak dan Singapura, termasuk menerusi perkongsian pengetahuan, pertukaran kepimpinan, program pembinaan kapasiti dan kerjasama komuniti.

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk kerjasama masa depan antara organisasi kita, sama ada melalui perkongsian pengetahuan seperti yang dilakukan hari ini, pertukaran kepimpinan, program pembinaan kapasiti atau kerjasama komuniti.

“Banyak yang boleh kita capai bersama dalam usaha mencapai matlamat bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kunjungan hormat delegasi Rangkaian Integrasi Wanita Persatuan Rakyat (PAWIN), Singapura ke Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), di Wisma Wanita hari ini.

Menurutnya, kerja yang dilaksanakan PAWIN dalam menggalakkan integrasi sosial, kesukarelawanan, kepimpinan wanita dan penglibatan komuniti amat selari dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Katanya, Sarawak juga bersedia berkongsi pengalaman dan inisiatifnya dalam memajukan pembangunan wanita, termasuk menerusi keusahawanan, pembinaan kapasiti serta kemahiran menjana pendapatan.

Fatimah menambah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting dalam melengkapi usaha kerajaan, khususnya dalam menyampaikan perkhidmatan dan sokongan kepada lebih banyak keluarga, termasuk di kawasan luar bandar.

Jelasnya, kerajaan mengiktiraf NGO sebagai rakan penting dalam usaha memperkukuh perpaduan sosial dan membina komuniti berdaya tahan, selain menyediakan geran bagi membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Perubahan sosial yang berkekalan tidak dapat dicapai oleh kerajaan sahaja, sebaliknya melalui kerjasama kukuh dengan pemimpin komuniti, sukarelawan dan organisasi masyarakat sivil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, Sarawak turut berminat mempelajari pengalaman Singapura dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan wanita, pendidikan awal kanak-kanak dan agenda penuaan.

Beliau berkata, pertukaran pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua pihak dapat membantu Sarawak menyesuaikan pendekatan yang bersesuaian dengan konteks negeri.

“Ini adalah keindahan menjadi negara jiran. Kita boleh belajar daripada pengalaman satu sama lain dan melengkapkan komuniti kita dengan lebih baik untuk menghadapi cabaran, sambil mewujudkan peluang untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Fatimah turut mengalu-alukan potensi kerjasama lebih erat antara Sarawak dan Singapura dalam memperkukuh hubungan serta pembangunan komuniti dan wanita pada masa hadapan.

Oleh Adele Rissa