
MARUDI: Radio Televisyen Malaysia (RTM) memainkan peranan penting dalam menyemarakkan penghasilan karya kreatif tempatan, sekali gus membuka peluang serta memberi galakan kepada golongan muda untuk membina kerjaya sebagai penyanyi profesional.
Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau berkata, RTM turut menjadi platform yang membantu mengetengahkan bakat baharu dalam industri seni tanah air.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian pertandingan separuh akhir Bintang Baram Regata 2026 di Dataran Marudi, malam tadi.

Beliau berkata, pertandingan itu bertujuan mengetengahkan bakat baharu untuk bergiat aktif dalam industri muzik, khususnya di kawasan Baram, selaras dengan dasar pembangunan industri kreatif negara.
“Selain berperanan sebagai media rasmi kerajaan dalam menyampaikan dasar dan polisi kerajaan, penganjuran program seumpama ini turut membuktikan komitmen RTM dalam mendekati pendengar dan penonton berteraskan semangat ‘Segulai Sejalai’,” katanya.
Dalam pada itu, Anyi berkata Bintang Baram Regata merupakan program radio yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian di Sarawak dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi Facebook, TikTok dan YouTube MIRIfm.
Beliau mengucapkan tahniah kepada 15 peserta yang layak ke peringkat separuh akhir dan daripada jumlah itu hanya tujuh peserta dipilih untuk mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada malam ini bagi merebut gelaran juara Bintang Baram Regata 2026.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Penyiaran Sarawak, khususnya RTM Miri, serta Jawatankuasa Induk Regata Baram 2026 atas kejayaan menganjurkan pertandingan Bintang Baram Regata 2026.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dato Dennis Ngau, Pengurus Jabatan Penyiaran Miri, Saiful Arini, Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Marudi dan Rose Edward Tarang.
Oleh Jiku Juguong





