BAU: Seramai 220 belia pemegang Lesen Memandu Kelas B2 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menerima baucar isian petrol Shell bernilai RM100 menerusi Program Baucar Petrol Belia 722.
Baucar tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep pada majlis yang berlangsung di sini, semalam.

Menurut beliau, program yang merupakan inisiatifnya itu bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup golongan belia, khususnya dalam menampung kos pengangkutan harian.
Katanya, bantuan berkenaan diharap dapat memudahkan urusan mobiliti golongan belia, terutama mereka yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama untuk bekerja, belajar dan menjalankan aktiviti harian.

Beliau berkata, inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan belia di kawasan DUN Tasik Biru melalui bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada penerima.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Bau, Saffika Kueh, Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Derop serta Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau, Robert Tom Juin.





