MARUDI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi perahu karam di Long Selatong, Sungai Baram berakhir apabila mangsa ketiga ditemukan meninggal dunia di kawasan Jiram Masen pagi ini.
Mangsa dikenali sebagai Jonathan Nyurang Lusut, 45, ditemukan kira-kira 9.50 pagi di kawasan Jiram Masen, tidak jauh dari Long Seperek, iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan seorang lagi mangsa kanak-kanak semalam.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Long San bagi proses pengesahan oleh doktor sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi penyelamat serta penduduk setempat yang menjalankan pencarian di sepanjang Sungai Baram sejak insiden perahu karam berlaku.
Terdahulu, dua lagi mangsa ditemukan meninggal dunia semalam, iaitu Joshua Uken Mathew, 38, dan anak lelakinya, Jovian Jangin Joshua, 4, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemukan meninggal dunia dalam tragedi itu seramai tiga orang.




