AADK Serian perkasa kesedaran antidadah dalam kalangan murid sekolah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SERIAN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian menyertai Program Ceramah Kesedaran yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Matthew, Mundai, hari ini sebagai usaha memperkukuh pendidikan pencegahan dadah dalam kalangan murid.

Menurut kenyataan media AADK Daerah Serian, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran murid mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta memupuk amalan hidup sihat sejak di bangku sekolah.

Ceramah bertajuk “Jauhi Dadah” telah disampaikan oleh Grey Songes yang memberi penerangan mengenai kesan buruk penyalahgunaan dadah terhadap kesihatan, institusi keluarga dan masa depan individu.

Beliau turut menekankan kepentingan membina jati diri yang kukuh serta membuat pilihan bijak agar tidak terpengaruh dengan gejala dadah yang boleh merosakkan kehidupan.

Selain ceramah, Johnston Bahwaul dan Walen Dabblin mengendalikan pameran antidadah yang memaparkan pelbagai maklumat berkaitan jenis-jenis dadah, kesan penyalahgunaannya serta bahan pendidikan berkaitan pencegahan dadah.

Pameran tersebut memberi peluang kepada murid mendapatkan maklumat secara lebih dekat melalui bahan pameran interaktif yang disediakan oleh pihak AADK.

Murid-murid juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai AADK menerusi sesi penerangan dan soal jawab bagi meningkatkan pemahaman mereka mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Menurut kenyataan itu, program seumpama ini diharap dapat membentuk generasi muda yang berdisiplin, berakhlak mulia serta bebas daripada gejala dadah melalui penerapan nilai positif sejak usia persekolahan.

Orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat, ingin membuat pertanyaan atau aduan berkaitan masalah dadah boleh menghubungi talian hotline AADK di 1-800-22-2235 (AADK) atau 019-626 2233, melayari icari.aadk.gov.my, manakala maklumat lanjut mengenai AADK boleh diperoleh melalui www.aadk.gov.my.

Oleh Adi Safarman