Tinggal kerjaya korporat demi ‘Kuah Rojak Mak Bee’, legasi empat dekad

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ALOR SETAR: Enggan melihat  perniagaan keluarga yang dibangunkan sejak empat dekad lalu lenyap begitu sahaja, Shazana Mahazir nekad meninggalkan zon selesa kerjaya korporat di ibu kota bagi menggalas tanggungjawab mempertahankan empayar Kuah Rojak Mak Bee.

Shazana, 40, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengurus perpindahan di sebuah syarikat swasta, mengambil keputusan besar itu pada 2020 selepas ibunya, Mimi Ismail atau Cikgu Mimi, berhasrat menamatkan operasi perniagaan atas faktor usia dan kesihatan.

Bagi anak tunggal itu, membiarkan jenama yang diasaskan oleh neneknya Allahyarhamah Bibi Abdullah atau Mak Bee pada 1980 tersebut terkubur adalah satu kerugian besar dunia kulinari warisan Kedah.

“Arwah Tok yang membesarkan saya dan saya melihat sendiri bagaimana dia bekerja, sebab itu perniagaan ini sangat dekat dengan diri saya,” katanya kepada Bernama bersempena dengan program Surreal Experience in the North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara baru-baru ini.

Namun, langkah sulungnya sebagai Pengarah Urusan Mak Bee Utara (M) Sdn Bhd tidak semudah yang disangka apabila beliau  berdepan krisis produk tiruan yang menggunakan label hampir serupa, menyebabkan jualan Kuah Rojak Mak Bee merosot drastik hingga 70 peratus.

Kecewa namun enggan beralah, Shazana memilih untuk tidak membuang masa dengan tindakan undang-undang, sebaliknya melakukan anjakan strategik  menukar identiti pembungkusan produk asli Mak Bee pada 2024.

Bagaimanapun, perubahan imej berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan, mendorongnya turun padang menerusi siri jelajah ke seluruh negara pada 2025.

“Saya sendiri memandu van sambil ditemani dua pekerja. Ada masanya 200 kotak yang dibawa habis dijual sehingga kami terpaksa berpatah balik ke Alor Setar atau mengatur penghantaran bekalan tambahan di pertengahan jalan. Sesuatu yang  memenatkan, tetapi saya mahu bersemuka dengan pelanggan dan menerangkan sendiri tentang pembungkusan baharu produk asli Mak Bee,” katanya.

 Menurut beliau usaha itu membuahkan hasil apabila keyakinan pelanggan mula kembali dan jualan menunjukkan pemulihan selepas kira-kira tiga bulan.

Pada masa sama Shazana turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya memperjuangkan klasifikasi cukai bagi produk kuah rojak di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Segalanya bermula apabila seorang pelanggan mendedahkan kuah rojak tersebut turut digunakan sebagai pes mi goreng mamak, sekali gus menjadi bukti kukuh untuk beliau memohon penilaian semula kategori produk tersebut.

“Pada mulanya saya tidak percaya, jadi saya memintanya menghantar video dan rakaman itu kemudian saya kemukakan kepada JKDM di Putrajaya sebagai bukti bahawa kuah rojak turut boleh digunakan dalam masakan,” katanya.

Hasil kegigihannya membuktikan fungsi produk itu dalam masakan, Kuah Rojak Mak Bee kini menikmati layanan cukai sifar, sekali gus memberi manfaat kepada industri kuah rojak secara keseluruhan di bawah kategori yang sama.

Shazana yang memiliki latar belakang dalam bidang reka bentuk perindustrian, turut mempelbagaikan cabang perniagaan dengan mengoperasikan Restoran Mak Bee dan Mak Bee Cat Hotel & Spa di sini sejak 2023 sebagai strategi sokongan kepada perniagaan utama.

Beliau kini merangka strategi untuk menembusi pasaran Singapura, Thailand dan Brunei, selain berhasrat membangunkan sebuah pusat sehenti khas di Kedah menjelang pertengahan tahun depan bagi memartabatkan sejarah Kuah Rojak Mak Bee sebagai tarikan pelancongan negeri.

Meskipun sayap perniagaannya semakin lebar, ibu kepada lima anak ini tetap memegang utuh pesanan neneknya agar sentiasa berkongsi rezeki dengan masyarakat tanpa terikat kepada sistem ejen atau stokis yang eksklusif.

“Arwah Mak Bee selalu pesan, apa yang kita dapat, pulangkan semula kepada masyarakat. Oleh sebab itulah kami beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk memborong dan mencari rezeki bersama-sama. Dalam perniagaan, yang penting adalah bagaimana kita bangkit daripada cabaran dan terus belajar,” katanya. – Bernama