
USIA AirBorneo belum sampai setahun dan sebarang masalah timbul termasuk kelewatan penerbangan seperti bagi laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Kuching Isnin lepas, perlu dilihat secara positif.
Ini demi keselamatan penumpang berikutan masalah teknikal. Malah AirBorneo tidak perlu minta maaf pun. Ini perkara biasa bagi semua penerbangan di dunia. Malah ada syarikat penerbangan lain asyik ‘delayed’ saban masa.
Bagaimanapun bagi penerbangan seterusnya, AirBorneo berjaya mencapai Prestasi Ketepatan Masa (On-Time Performance, OTP) 100 peratus bagi semua operasi penerbangan jet sektor berkenaan.
Kes kelewatan penerbangan itu baru-baru ini turut viral tetapi rata-rata penumpang yang membuat catatan dalam sosial media berasa puas hati kerana layanan kru AirBorneo di daratan (KLIA) begitu mesra sekali bersemuka dengan setiap orang selain memberi baucer makanan serta meminta maaf sebab kelewatan.

Malah kru itu juga dikatakan sanggup menemui penumpang AirBorneo yang sedang menjamu selera di restoran (KLIA 1) untuk memberitahu perkembangan semasa.
Selain itu, ramai juga memuji keenakan laksa Sarawak (jenis kering) dan nasi goreng dabai yang disajikan dalam penerbangan Kuching-KL-Kuching selain kemesraan dengan senyuman tidak lekang dibibir pramugara dan pramugari.
Petang semalam, AirBorneo membuat penerbangan pertama antarabangsa dari Kuching ke Singapura dan dalam tempoh dua bulan akan datang, akan terbang ke Jakarta.
Sepintas lalu
Malaysia kini mempunyai kira-kira lapan syarikat penerbangan yang aktif beroperasi membabitkan penerbangan penumpang dan kargo. Ada kira-kira 300 pesawat keseluruhannya.

Syarikat penerbangan utama yang aktif adalah syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines; penerbangan tambang rendah AirAsia, AirAsia X (jarak jauh), Batik Air Malaysia (dahulu Malindo Air), Firefly (anak syarikat MAG), Raya Airways (kargo), AsiaCargo Express (kargo) selain AirBorneo (menggantikan MASwings).
Yang sudah bankrap atau tutup operasi ialah MYAirline (pada 2023), Rayani Air (2016), Eaglexpress (2016), SKS Airways (2025), My Jet Xpress Airline (2024) Pelangi Air (2001), Silverfly (2010) dan Suasa Airlines (2017).
MYAirline menghentikan operasi secara mengejut pada 12 Oktober 2023 kerana masalah kewangan dan kekurangan modal. Ribuan penumpang terjejas apabila penerbangan dibatalkan secara mendadak.
Kita yakin AirBorneo tidak mungkin berdepan masalah besar pada masa akan datang kerana kedudukan kewangan kerajaan Sarawak kukuh, mencatat hasil tertinggi sejak 2022 mengatasi negeri-negeri lain.
Hasil bertambah
Sejak diperkenalkan pada Januari 2019, hasil Cukai Jualan Negeri (SST) telah menjana RM24.77 bilion kepada kerajaan Sarawak.
Malaysia Airlines pernah bankrap?
Pernah, tetapi tidak hilang terus setelah ia mengalami krisis kewangan besar selepas kerugian berpanjangan dan tragedi MH370 serta MH17.

Pada 2014–2015, syarikat itu melalui proses bankrap dan penstrukturan semula di bawah kerajaan melalui Khazanah Nasional. Operasi diteruskan di bawah entiti baharu dan syarikat itu terus aktif sehingga hari ini.
Namun, ada beberapa syarikat penerbangan menukar nama seperti Malindo Air kepada Batik Air Malaysia,
MASwings kepada AirBorneo dan Transmile Air Services kepada Raya Airways.
Fakta menarik
AirAsia mempunyai armada terbesar di Malaysia dan juga antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Malaysia Airlines mempunyai lebih banyak pesawat badan lebar (A330 dan A350) berbanding syarikat tempatan lain.
AirBorneo masih baru kerana mengambil alih operasi MASwings hanya pada 1 Januari lalu dan dijangka menambah pesawat jet secara berperingkat.
MYAirline pula hanya sempat beroperasi kira-kira setahun sebelum menghadapi masalah kewangan serius.
Perbandingan kekuatan syarikat
- AirAsia – tambang rendah dan rangkaian serantau
- Malaysia Airlines – perkhidmatan penuh dan penerbangan jarak jauh
- Batik Air Malaysia – gabungan tambang sederhana dan antarabangsa
- Firefly – laluan domestik dan serantau
Sejarah awal penubuhan AirAsia
Ditubuhkan 20 Disember 1993. Pengasas asal adalah DRB-HICOM (syarikat berkaitan kerajaan Malaysia) dan mula beroperasi pada 18 November 1996.
Penerbangan pertamanya adalah laluan Kuala Lumpur – Langkawi dan pesawat pertama Boeing 737-300.
Titik perubahan
Titik perubahan besar ialah pada 5 September 2001, apabila Tony Fernandes bersama Kamarudin Meranun membeli AirAsia melalui syarikat Tune Air. Harga pembelian RM1 (satu ringgit) dan hutang yang diambil alih kira-kira AS$11 juta (sekitar RM40 juta ketika itu).
Fernandes menukar AirAsia daripada syarikat penerbangan biasa kepada syarikat tambang murah (low-cost carrier) dengan slogan yang kini amat dikenali ‘Now Everyone Can Fly’.
Untuk mencapai kejayaan seperti dikecapi hari ini, AirAsia berdepan cabaran pada peringkat awal kerana hutang yang tinggi dan hampir muflis ketika diambil alih.
AirAsia juga berdepan saingan hebat dengan Malaysia Airlines yang ketika itu menguasai pasaran domestik selain kos operasi tinggi dan model perniagaan lama tidak menguntungkan.
Malah kemelesetan industri penerbangan selepas serangan di Amerika Syarikat pada 11 September 2001, menyebabkan permintaan perjalanan menurun secara global.
Namun, AirAsia meyakinkan rakyat bahawa penerbangan tambang murah selamat dan boleh dipercayai.
Hasilnya dalam tempoh setahun selepas pengambilalihan, AirAsia berjaya mencapai keuntungan dan melangsaikan hutang.
Tetapi AirBorneo menjual harga tiket kekal sama walaupun dibeli ketika musim perayaan seperti Hari Raya dan Gawai atau pada saat akhir kerana syarikat penerbangan itu mengamalkan konsep harga tetap.
Ini memberi kelebihan berbanding Malaysia Airlines dan AirAsia.
Sempena Hari Sarawak yang disambut semalam, kita sama-sama berdoa supaya AirBorneo terus berkembang maju dan berjaya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak





