
SIBU: Konsert Rakyat sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang semalam berlangsung meriah apabila ribuan pengunjung membanjiri lokasi bagi menyaksikan persembahan artis tempatan serta anak jati Sarawak.
Konsert yang bermula tepat 11.00 malam itu membuka tirainya dengan persembahan Ricky Andrewson menerusi lagu popular Berkikis Bulu Betis, sekali gus menghangatkan suasana dan mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton.

Kemeriahan diteruskan dengan persembahan Claudia Geres yang mendendangkan lagu Berdua Lebih Baik serta Baby One More Time, diikuti Firdaus Materang menerusi Kelentang-Kelentong dan Risk It All.
Ericson kemudian menghiburkan penonton dengan lagu Yank dan Jangan Paksa Rindu, manakala Kelly Ho tampil mempamerkan versatilitinya menerusi lagu Mandarin Shuo Ai Ni dan lagu popular Waka Waka.

Suasana di Dataran Tun Tuanku Bujang terus bergema apabila Mawat tampil dengan rangkaian lagu seperti Kembali Merindu, Tungkat Semengat, Kicau Mania dan Dayang Bintang, sekali gus mengajak penonton turut menyanyi bersama.
Persembahan Dewi Liana Seriestha pula memukau hadirin menerusi vokal mantap membawakan lagu Andai Saja dan Dia, sebelum kemunculan penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip, menjadi detik paling dinanti.

Sorakan gemuruh mengiringi Hafiz Suip sebaik sahaja beliau muncul di pentas dengan mendendangkan lagu Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita dan Noktah Cinta, sekali gus melengkapkan malam penuh warna-warni sempena sambutan Hari Sarawak 2026.
Konsert Rakyat yang menghimpunkan pelbagai genre muzik dan bahasa itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menyerlahkan bakat seni tempatan serta menjadi antara acara tumpuan dalam sambutan Hari Sarawak tahun ini.
Oleh Tarani Lanting




