FAIZAL BUJANG
Pengurusan skuad Kuching FA tidak mengalami sebarang masalah di sebalik pengumuman dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung cadangan penyambungan semula saingan Liga Malaysia 2020 ke tarikh baharu yang akan ditetapkan nanti.
Penolong Pengurus, Iswandy Ali Hassan memberitahu, pihaknya menyambut baik perubahan tarikh terbaharu daripada badan induk berkenaan.
Malah katanya, hal tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah yang boleh memberi impak kepada pihak pengurusan dan pasukan Kuching FA.
“Di pihak kami tiada masalah malah menyambut baik segala perubahan yang diumumkan oleh \MFL berhubung perkara itu,” ujar Iswandy ketika mengulas mengenai itu.
Katanya, penetapan jadual baharu itu juga tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kontrak pemain sedia ada kerana kontrak semua pemain hanya akan tamat pada November nanti,
Justeru jelas Iswandy, apa yang menjadi fokus pihaknya ketika ini ialah memberi tumpuan pembikinan semula tahap kecergasan para pemain apabila latihan penuh disambung kembali.
Saingan Liga Malaysia bagi musim 2020 terpaksa ditangguh sejak 16 Mac lalu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan pusat susulan wabak pandemik Covid-19.
Perubahan kalendar Liga Malaysia 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini sebagai rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020.
Berdasarkan keputusan mesyuarat berkenaan, permohonan MFL untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada Ogos depan dengan sesi latihan pasukan bermula pada Julai nanti tidak diluluskan.
Keputusan berkenaan disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina kepada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu pertemuan di Putrajaya.
Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan berhubung perancangan baharu
Liga Malaysia 2020 berpandukan kepada maklum balas MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KBS serta perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga pada 19 April lalu.
MFL merancang untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1 dan 2 September dan akan berakhir pada 26 dan 27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja.
Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.
TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.