KABONG: Pantai Tanjung Kembang menjadi tumpuan orang ramai apabila Program Sahabat Maritim bersama PJM Plantation (KP) Sdn. Bhd. berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai pengisian menarik.
Program itu berjaya menghimpunkan pengunjung dari seluruh Sarawak sekali gus memeriahkan kawasan pantai yang terkenal sebagai lokasi rekreasi di Daerah Kabong.
Acara kemuncaknya ialah Pertandingan Saok Gudi Putus Tali yang disertai seramai 220 peserta dan ditaja sepenuhnya oleh PJM Plantation (KP) Sdn. Bhd.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan T.S Kites Sarikei, Zon Maritim Tanjung Manis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kabong serta pelbagai agensi dan pertubuhan tempatan.
Pengarah PJM Plantation (KP) Sdn. Bhd., Mohamad Yussof Rahmad berkata, program itu bertujuan memperkenalkan permainan tradisional gudi atau layang-layang kepada masyarakat.
Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan bukan sahaja dari Kabong, malah turut melibatkan peserta dari Kuching, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Serian.

Selain pertandingan gudi, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, bola sepak pantai, bola tampar pantai, sukaneka, pameran agensi kerajaan serta gerai jualan usahawan tempatan.
Majlis perasmian program disempurnakan bersama oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa dan Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee.
Turut hadir Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kabong, Mohd Sabri Salleh serta pemimpin masyarakat setempat.

Mohamad Yussof berkata, program itu turut menjadi platform memperkenalkan PJM Plantation (KP) Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik anak tempatan yang membangunkan tanah menerusi penanaman kenaf dan kelapa sawit bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat.
Dalam Pertandingan Saok Gudi Putus Tali, Lai NKF Sarikei muncul juara, manakala Sam NKF Sarikei dan Qia Kawan Sibu masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi pertandingan bola sepak pantai, GS4 muncul juara, diikuti KAZUNO FT dan PJM, manakala pertandingan bola tampar pantai dimenangi IPBL HAWLK, diikuti SUPER SPIKERS dan SUPER STRIKES.
Mohamad Yussof turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut serta berharap penganjurannya dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memupuk perpaduan, memelihara warisan budaya di samping mempromosikan potensi pelancongan dan ekonomi Pantai Tanjung Kembang.
Oleh Adi Safarman




