RM250,000 disalur bagi persiapan Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LIMBANG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM250,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota bagi persediaan penganjuran Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata peruntukan itu digunakan bagi kerja menaik taraf padang dan jalan, pembinaan pentas, pembersihan parit serta pemasangan pembetung di kampung berkenaan.

PERSIAPAN LANCAR…Datuk Dr Abdul Rahman  ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai, Limbang.  

Beliau berkata, Kampung Mengatai dipilih sebagai tuan rumah Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober depan, iaitu antara acara yang tersenarai dalam kalendar pelancongan negeri.

“Pesta Badudun dan Lumba Kerbau diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di kampung-kampung Melayu di pesisir Sungai Limbang. Tahun ini giliran Kampung Mengatai menjadi tuan rumah.

“Melalui RTP, kita memperuntukkan RM250,000 bagi menaik taraf prasarana termasuk pembinaan pentas serta penyediaan padang untuk acara lumba kerbau.

“Saya melihat persiapan berjalan dengan teratur dan yakin kerja-kerja akan dipergiat menjelang Oktober nanti. Kita juga berharap kemudahan yang disediakan dapat diselenggara dengan baik dan dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kampung,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 di Kampung Mengatai, hari ini

LAWATAN Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ke tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2026 bagi meninjau kemajuan kerja-kerja menaik taraf prasarana di Kampung Mengatai, Limbang.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau merupakan antara program pelancongan utama di utara Sarawak, khususnya di Limbang, yang menampilkan acara tradisi lumba kerbau sebagai tarikan utama.

Menurut beliau, lebih 30 peserta dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan lumba kerbau yang berpotensi menarik kehadiran pengunjung tempatan serta pelancong dari luar negara, termasuk Brunei Darussalam.

Pesta itu dianjurkan oleh Persatuan Melayu Limbang (PML) dengan kerjasama Persatuan Penternak dan Lumba Kerbau Limbang (PPLKL) serta Pejabat Residen Bahagian Limbang.

Selain pesta berkenaan, Limbang turut menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara tahunan lain seperti Pesta Makan Tahun Kedayan, Pesta Limbang, Pesta Kebudayaan Masyarakat Tionghua dan Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran pelbagai acara itu menjadi pemangkin kepada peningkatan kedatangan pelancong, khususnya dari Brunei Darussalam, sejajar dengan kedudukan Limbang sebagai antara pintu masuk utama ke Sarawak.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML), Mohamad Abu Bakar.

Oleh Adeng Edrus