Ops Bersepadu JPJ Sarawak kesan pelbagai kesalahan, 120 kenderaan diperiksa

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMANGGANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya menerusi pelaksanaan Ops Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sri Aman dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Sri Aman di Lebuh Raya Pan Borneo, Betong–Serian, dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temudok, hari ini.

Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang selain memastikan aspek keselamatan lalu lintas sentiasa berada pada tahap terbaik.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 120 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa daripada ketiga-tiga agensi yang terlibat.

ANGGOTA JPJ Sarawak, PDRM Sri Aman dan AADK Cawangan Sri Aman berganding bahu melaksanakan Ops Bersepadu bagi meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya. Foto JPJ Sarawak

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan, termasuk pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh serta pelbagai kesalahan lain berkaitan aspek teknikal kenderaan.

Semua kesalahan yang dikenal pasti telah diambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Dalam operasi yang sama, PDRM Sri Aman telah mengeluarkan enam notis saman atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang pemeriksaan dijalankan.

Sementara itu, AADK Cawangan Sri Aman telah menjalankan saringan air kencing terhadap empat individu sebagai langkah membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengguna jalan raya.

Hasil saringan tersebut mendapati tiada kes positif penyalahgunaan bahan terlarang direkodkan, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam aspek penyalahgunaan dadah sepanjang operasi berlangsung.

OPS Bersepadu bersama JPJ bersama PDRM dan AADK Cawangan Sri Aman di Lebuh Raya Pan Borneo, Betong–Serian, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temudok, hari ini. Foto JPJ Sarawak

Menurut JPJ Sarawak, operasi bersepadu seperti ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan, malah berperanan sebagai usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.

Kerjasama erat antara JPJ Sarawak, PDRM Sri Aman dan AADK Cawangan Sri Aman turut menjadi faktor utama yang memastikan keseluruhan operasi berjalan lancar, teratur dan mencapai objektif yang disasarkan.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Sri Aman serta AADK Cawangan Sri Aman atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi bersepadu berkenaan.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa memastikan lesen memandu dan dokumen kenderaan masih sah, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat digunakan serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi menjamin keselamatan diri, penumpang dan semua pengguna jalan raya.

Oleh Adi Safarman