LUBOK ANTU: Empat ahli keluarga berdepan detik cemas selepas rumah jenis tidak kekal yang didiami mereka musnah 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran di kawasan Hidro Batang Ai, Jalan Lubuk Antu, tengah hari tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 12:28 tengah hari.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dan pacuan empat roda telah dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 72 kilometer dari balai.

Komander Operasi, Komi Jayang memaklumkan bahawa Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berdepan cabaran laluan dan perlu menggunakan bot awam untuk menyeberangi sungai bagi sampai ke lokasi kejadian.
Jentera bomba tiba di lokasi pada 1:48 petang dan operasi berjaya dikawal seminit kemudian pada 1:49 petang.
Kebakaran tersebut melibatkan sebuah struktur rumah berukuran kira-kira 6.1 x 6.1 meter. Rumah berkenaan didiami sepasang suami isteri bersama dua anak mereka, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Kesemua penghuni dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Sehingga 2:24 petang, kerja-kerja pemadaman secara menyeluruh menggunakan sumber air daripada paip masih giat dijalankan di bawah seliaan Komander Operasi Kanan, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi.
Maklumat lanjut mengenai punca kebakaran dan jumlah kerugian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Oleh Adi Safarman




