KUCHING: Penjawat awam Sarawak perlu beralih daripada sekadar pelaksana dasar kepada pemudah cara dan pemacu pembangunan berasaskan data bagi memastikan negeri ini terus mendepani era pendigitalan.
Setiausaha kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perubahan peranan itu menuntut setiap penjawat awam memiliki kecekalan, kesediaan untuk berubah serta komitmen berterusan dalam memperkukuh kemahiran digital, literasi data dan keupayaan berfikir secara kritis serta inovatif.
Menurut beliau, perkembangan teknologi yang pesat memerlukan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan supaya penyampaian perkhidmatan kekal cekap, relevan dan berkesan.
“Ini memerlukan kecekalan, kesediaan untuk berubah dan semangat untuk terus belajar.
“Justeru, anggota Perkhidmatan Awam Sarawak perlu terus meningkatkan kemahiran digital dan literasi data, di samping memperkukuh keupayaan berfikir secara kritis dan inovatif bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompleks serta dipacu oleh teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Sambutan Hari Sarawak 2026.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penjawat awam mengamalkan prinsip 3R iaitu Revisit, Rethink and Recharge sebagai budaya kerja bagi memastikan sektor awam sentiasa tangkas menyesuaikan diri dengan perubahan serta memenuhi tuntutan pendigitalan.
Beliau berkata, tempoh lima tahun akan datang dijangka lebih mencabar. Namun, beliau yakin semangat kerja berpasukan, integriti dan komitmen tinggi akan membolehkan Perkhidmatan Awam Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama pembangunan negeri.
Mengulas mengenai Sambutan Hari Sarawak, beliau berkata sambutan itu memperingati detik bersejarah apabila buat pertama kali anak jati Sarawak menerajui kepimpinan tertinggi kerajaan negeri pada 22 Julai 1963.
Katanya, peristiwa itu menjadi simbol perjuangan pemimpin terdahulu dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan Sarawak, sekali gus menyuntik semangat kepada generasi masa kini untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.





