KUCHING: Polis Sarawak merampas 25 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine bernilai kira-kira RM1.25 juta serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun dalam serbuan di kawasan parkir MJC Batu Kawa New Township, Padawan pada 15 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hasil maklumat risikan.
Beliau berkata suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah Toyota Fortuner sebelum pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan 25 kg dadah disyaki methamphetamine.
“Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1.25 juta dan berpotensi digunakan oleh kira-kira 125,000 penagih. Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai ‘runner’ bagi sindiket pengedaran dadah,” katanya.
Menurut Zainal, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Ordinan Hiburan 2000 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953, namun ujian saringan air kencing adalah negatif serta tidak mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 23 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Zainal berkata Polis Sarawak akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara agresif dan bersepadu bagi mengesan, memburu serta menumpaskan sindiket pengedaran dadah, di samping memutuskan rantaian bekalan dan menyita hasil jenayah.
“Komitmen ini diterjemahkan menerusi pendekatan ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’ dalam usaha berterusan memerangi jenayah dadah demi melindungi masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di 012-2087222 atau hotline JSJN Sarawak di 017-5929211, dengan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Oleh Connie Chieng





