KABONG: Sebanyak lima projek infrastruktur bernilai RM3.36 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong bagi memperkukuh kemudahan awam, khususnya dalam sektor pengangkutan air dan perikanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, berkata projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk meningkatkan taraf kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk luar bandar.

Beliau berkata projek yang diserahkan kepada kontraktor meliputi pembinaan Terminal Bot Baharu di Rumah Bundan, Engkabang serta kerja-kerja menaik taraf Jeti Nelayan Kampung Hulu Laut Kabong 1, Kampung Hulu Laut Kabong 2, Kampung Hulu Laut Kabong 5 dan Kampung Hulu Laut Kabong 6.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat yang bergantung pada pengangkutan sungai dan aktiviti perikanan sebagai sumber pendapatan.

“Projek ini bukan sahaja menambah baik kemudahan sedia ada, malah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan air serta menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat pesisir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Ringkas Penyerahan Tapak Projek kepada kontraktor yang dilantik di sekitar DUN Kabong, hari ini.

Chee Kadir berharap semua kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek berkenaan dapat menjalankan amanah dengan penuh komitmen dan profesionalisme.
“Setiap projek hendaklah dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di samping memastikan aspek keselamatan, kualiti kerja dan jadual pelaksanaan dipatuhi.
“Penyempurnaan projek mengikut tempoh yang dipersetujui amat penting bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan tanpa sebarang kelewatan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan bagi projek pembangunan itu yang disifatkan mampu memberi impak positif kepada penduduk di kawasan Kabong.
Menurutnya, komitmen kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik membuktikan kesungguhan dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Majlis penyerahan tapak itu turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan kelima-lima projek berkenaan.
Oleh Adi Safarman




