Projek mitigasi banjir Maludam–Triso dijangka kurangkan risiko banjir secara menyeluruh

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DAYANG Noorazah ketika menghadiri sesi pembentangan Cadangan Projek Mitigasi Banjir yang dianjurkan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak bersama pihak perunding di Kuching semalam. Foto ADUN Lingga

KUCHING: Cadangan projek mitigasi banjir bagi penempatan utama di sepanjang Jalan Pesisir Maludam–Triso dijangka menjadi langkah penting dalam mengurangkan risiko banjir yang sering melanda kawasan berkenaan melalui pelaksanaan penyelesaian kejuruteraan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata usaha itu memerlukan perancangan yang rapi serta kerjasama erat antara semua pihak bagi memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan penduduk.

Menurut beliau, sesi pembentangan tersebut memberi tumpuan kepada cadangan penyelesaian kejuruteraan dan langkah mitigasi jangka panjang bagi mengurangkan impak banjir terhadap penempatan di sepanjang Jalan Pesisir Maludam–Triso.

Dayang Noorazah berkata beliau turut mengemukakan pandangan dan maklum balas berdasarkan keadaan sebenar di lapangan supaya setiap cadangan mengambil kira cabaran setempat serta mampu memberi manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat.

“Pelaksanaan projek mitigasi banjir yang berkesan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko bencana, malah berupaya meningkatkan keselamatan penduduk serta melindungi infrastruktur awam dan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pembentangan Cadangan Projek Mitigasi Banjir yang dianjurkan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak bersama pihak perunding di sini, semalam.

Dayang Noorazah berkata pendekatan yang menyeluruh perlu diterapkan dalam setiap peringkat pelaksanaan agar penyelesaian yang dipilih mampu menangani punca banjir secara mampan dan selaras dengan keperluan pembangunan kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak serta pihak perunding atas komitmen menyediakan cadangan yang komprehensif bagi memperkukuh daya tahan kawasan pesisir Maludam–Triso.

“Saya berharap cadangan yang dibentangkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang efektif demi memastikan kesejahteraan penduduk, selain menyokong pembangunan luar bandar yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Oleh Adi Safarman