
BINTULU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi JPJ Cawangan Bintulu telah menyita tiga kenderaan dalam Ops Motosikal, HID/LED dan Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan secara statik di Jalan Tun Ahmad Zaidi, di sini, semalam.
Operasi yang diketuai Ketua Cawangan JPJ Bintulu, Fredrick Kedo itu melibatkan seramai 20 pegawai dan anggota penguat kuasa.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 350 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa.
Pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya termasuk memandu tanpa lesen, penggunaan lampu HID/LED yang tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu tamat tempoh serta beberapa kesalahan lain membabitkan aspek teknikal kenderaan.
Dalam operasi berkenaan, dua motosikal telah disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans telah tamat tempoh, manakala sebuah lagi motosikal disita kerana ditunggang oleh pemandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah.

Keseluruhannya, tiga kenderaan telah disita dan semua kesalahan yang dikesan serta kenderaan yang disita akan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh negeri bagi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa memastikan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans dan spesifikasi kenderaan berada dalam keadaan sah sebelum menggunakan jalan raya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.
Oleh Faizah Muzidi




