Keselamatan awam keutamaan MDS dalam penetapan tapak jualan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KONSELAR Stephen Wong Kie Yong mempengerusikan mesyuarat berhubung penetapan lokasi baharu Tapak Jualan Buah-Buahan Bermusim Sementara di MDS, semalam. Foto MDS

SARIKEI: Aspek keselamatan awam, kelancaran lalu lintas dan pematuhan undang-undang menjadi pertimbangan utama Majlis Daerah Sarikei (MDS) dalam menetapkan lokasi baharu Tapak Jualan Buah-Buahan Bermusim Sementara bagi memastikan aktiviti perniagaan dapat dijalankan dengan lebih teratur dan selamat.

Pengerusi MDS, Konselar Stephen Wong Kie Yong, berkata keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai agensi teknikal serta maklum balas masyarakat.

“Saya ingin menegaskan bahawa MDS sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Setiap cadangan yang diterima akan dinilai secara profesional berdasarkan fakta, peruntukan undang-undang, pandangan agensi teknikal dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan keputusan MDS berhubung penetapan lokasi Tapak Jualan Buah-Buahan Bermusim Sementara, semalam.

Katanya, keputusan MDS bukan dibuat berdasarkan kepentingan mana-mana pihak tertentu, sebaliknya bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan ekonomi penjaja dengan aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan masyarakat.

“MDS telah mendapatkan pandangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarikei, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarikei, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bahagian Sarikei, Jabatan Pertanian Bahagian Sarikei dan Pusat Khidmat Repok sebelum membuat keputusan.

“Hasil penelitian mendapati Tebingan Sungai Rejang tidak sesuai dijadikan lokasi jualan buah-buahan bermusim kerana kawasan itu merupakan kawasan rekreasi awam yang diuruskan oleh MDS.

“Selaras dengan peruntukan Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 (Sarawak) dan dasar pengurusan kawasan awam MDS, aktiviti penjajaan tidak dibenarkan dijalankan di kawasan tersebut,” katanya.

ANTARA yang menghadiri mesyuarat berhubung penetapan lokasi baharu Tapak Jualan Buah-Buahan Bermusim Sementara di MDS, semalam. Foto MDS

Tambahnya, aktiviti jualan di Tebingan Sungai Rejang sebelum ini turut menimbulkan pelbagai isu, termasuk masalah kebersihan, pembuangan sampah, kesesakan lalu lintas serta risiko keselamatan kepada penjaja, pelanggan dan pengguna jalan raya kerana kawasan itu tidak direka untuk tujuan perdagangan.

“MDS turut mengambil kira pandangan masyarakat yang diterima melalui pelbagai saluran, termasuk media sosial, dengan majoriti berpandangan bahawa Tebingan Sungai Rejang perlu dikekalkan sebagai kawasan rekreasi awam.

“Sehubungan itu, MDS telah mengenal pasti tempat letak kereta Wisma Jubli Mutiara sebagai lokasi baharu Tapak Jualan Buah-Buahan Bermusim Sementara yang akan beroperasi dari 1 Jun 2026 hingga 28 Februari 2027,” katanya.

Katanya, lokasi baharu itu dipilih berdasarkan penilaian teknikal kerana mempunyai ruang yang lebih luas, kemudahan parkir yang mencukupi serta beberapa laluan keluar masuk yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Sebagai perbandingan, hanya 27 lot dapat disediakan di Tebingan Sungai Rejang, manakala di tempat letak kereta Wisma Jubli Mutiara, MDS menyediakan 58 lot, iaitu lebih daripada dua kali ganda kapasiti asal.

“Ini bermakna lebih ramai penjaja berpeluang menjalankan perniagaan dalam keadaan yang lebih tersusun dan selesa,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tapak tersebut hanya dikhaskan kepada penjaja yang menjual buah-buahan bermusim dan tidak melibatkan peniaga borong.

“MDS akan melaksanakan promosi secara aktif menerusi media sosial rasmi, hebahan awam, media tempatan serta platform komunikasi MDS bagi memastikan orang ramai mengetahui lokasi baharu itu dan terus menyokong peniaga buah-buahan bermusim,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak menghormati keputusan yang dibuat serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat, sambil menegaskan bahawa MDS sentiasa terbuka untuk menerima cadangan penambahbaikan melalui saluran yang betul demi memastikan Sarikei terus kekal sebagai bandar yang bersih, selamat, teratur dan mesra pengunjung.