
BAU: Lapan lelaki tempatan ditahan dalam Op Cegah Jenayah Bersepadu dan Operasi Waran yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang berlangsung dari 5.30 pagi hingga 8.30 pagi itu melibatkan beberapa kawasan kampung di daerah ini.
Menurutnya, hasil operasi itu, tiga daripada suspek didapati memiliki satu paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat keseluruhan 0.49 gram dengan anggaran nilai pasaran RM50.
“Ketiga-tiga suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua lapan suspek yang berusia antara 24 hingga 51 tahun turut menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif amphetamine serta methamphetamine.
“Susulan itu, mereka turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan,” katanya.
Mohd Haide berkata, semua suspek kini ditahan di lokap IPD Bau bagi membantu siasatan.
Katanya, tiga suspek yang ditahan kerana memiliki dadah akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bau hari ini bagi mendapatkan perintah reman, manakala tiga lagi suspek dijangka didakwa di mahkamah berhubung kes dadah terdahulu.
Kes masih dalam siasatan.
Oleh Connie Chieng





