KUALA LUMPUR: AirBorneo bukan sekadar syarikat penerbangan milik Sarawak, sebaliknya bakal menjadi ‘jambatan udara’ yang menghubungkan negeri ini dengan dunia bagi merancakkan pelaburan, pelancongan serta pertumbuhan ekonomi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, konsep tersebut berbeza daripada syarikat penerbangan konvensional kerana AirBorneo diwujudkan sebagai pelaburan strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh hubungan Sarawak dengan pasaran antarabangsa.
“Kita sebuah pulau. Kita tidak boleh mengharapkan orang berenang merentasi Laut China Selatan. Sebab itu kita anggap AirBorneo sebagai sebuah ‘jambatan udara’,” katanya pada sidang media selepas pelancaran AirBorneo, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini membina lebih 20 jambatan di seluruh Sarawak bagi meningkatkan jaringan darat, manakala AirBorneo pula akan melengkapkan usaha itu dengan memperkukuh jaringan udara.
Menurutnya, model perniagaan AirBorneo juga berbeza daripada syarikat penerbangan lain apabila kerajaan negeri akan membantu menampung sebahagian kos tetap, manakala operasi harian akan dijalankan secara komersial.
“Ini model Sarawak. Kita melihat AirBorneo sebagai satu pelaburan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi negeri, bukannya sekadar sebuah syarikat penerbangan,” katanya.
Abang Johari berkata, kewujudan AirBorneo penting bagi menyokong pertumbuhan pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor serta industri berteknologi tinggi yang semakin berkembang di Sarawak.

Menurutnya, syarikat-syarikat antarabangsa memerlukan sistem perhubungan udara yang cekap bagi memudahkan pergerakan pelabur, tenaga kerja mahir dan rakan perniagaan ke negeri ini.
Selain sektor pelaburan, katanya, AirBorneo turut dijangka memperkukuh industri pelancongan dengan menawarkan tambang tetap RM375 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur dan RM399 bagi laluan Kuching-Singapura sepanjang tahun.
Beliau berkata, tambang tetap itu diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong, khususnya dari Singapura untuk menikmati keunikan Kuching yang diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi UNESCO, selain melawat Tapak Warisan Dunia UNESCO di Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah.
Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, katanya, AirBorneo turut merancang memperluaskan rangkaian penerbangannya ke destinasi Asia Timur di samping terus memperkukuh Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Menyentuh mengenai laluan ke Jakarta, Abang Johari berkata penerbangan ke ibu negara Indonesia itu dijangka dimulakan dalam tempoh dua bulan selepas AirBorneo menerima slot pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Beliau berkata, dalam jangka panjang, kerajaan negeri turut menyasarkan AirBorneo berkembang seperti Emirates dengan menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan serantau yang mampu menyokong aspirasi Sarawak menjadi antara pusat ekonomi utama di rantau ASEAN.




