Guru derma sebahagian hati demi selamatkan nyawa anak saudara

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Pengorbanan seorang guru dari Kuching yang sanggup mendermakan sebahagian daripada hatinya demi menyelamatkan nyawa anak saudaranya yang menghidap penyakit hati kronik menyentuh hati ramai, sekali gus memberi sinar baharu kepada keluarga kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Louise Loo tampil secara sukarela menjadi penderma hati hidup kepada Chloe Khoo Ke Xin yang menghidap biliary atresia (atresia saluran hempedu), selepas penderma asal dalam keluarga tidak dapat meneruskan proses pendermaan berikutan paras enzim hati yang tinggi.

Beliau bersama Chloe dan ahli keluarganya berlepas ke Taiwan pada awal pagi Sabtu untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Memorial Chang Gung.

Menurut Loo, keputusan itu dibuat tanpa sebarang keraguan selepas mendapati beliau dan Chloe mempunyai kumpulan darah O-positif serta layak menjalani ujian keserasian.

“Sebagai seorang ibu, saya dapat membayangkan betapa cemasnya perasaan ibu bapa Chloe. Saya tidak teragak-agak kerana saya hanya mahu membantu jika saya mampu,” katanya.

Beliau berkata, dirinya berjaya melepasi ujian padanan darah dan pemeriksaan kesihatan hati di Kuching serta Selangor sebelum menjalani penilaian lanjut di Hospital Memorial Chang Gung bagi mengesahkan kesesuaiannya sebagai penderma hati hidup.

Guru sekolah menengah itu turut memaklumkan beliau memperoleh kelulusan rasmi untuk ke luar negara dan merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah atas sokongan yang diberikan sepanjang proses berkenaan.

Bagi memastikan dirinya kekal layak sebagai penderma, Loo mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kesihatan hati serta mengikuti panduan Pinggan Sihat Malaysia, selain menjadikan kepercayaan kepada Tuhan sebagai sumber kekuatan sepanjang melalui proses itu.

Beliau turut ditemani suaminya, Andy Sia, yang mengiringinya ke Taiwan bagi memberikan sokongan moral. 

Sementara itu, kempen kutipan dana yang dianjurkan CCEP Foundation dengan sokongan orang ramai berjaya mengumpul RM450,000 bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati dan rawatan Chloe.