Pengorbanan jururawat lahir daripada hati yang ikhlas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARIKEI: Pengorbanan seorang jururawat tidak diukur melalui waktu bekerja semata-mata, sebaliknya lahir daripada keikhlasan hati, dedikasi dan komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi dalam memastikan setiap pesakit menerima penjagaan terbaik.

Pengerusi Persatuan Profesional Jururawat (SNPA), Wong Siew Hua berkata, profesion kejururawatan bukan sekadar satu pekerjaan, malah merupakan satu panggilan untuk berkhidmat dengan penuh kasih sayang dan empati.

“Jururawat, kita pernah habis syif tetapi masih memikirkan keadaan pesakit di wad, atau pernah terlepas waktu makan kerana terlalu sibuk menguruskan pesakit. Itulah seorang jururawat. 

“Kerja ini bukan sekadar satu tugas, tetapi datang daripada hati. Walaupun penat, kita tetap memberikan yang terbaik untuk pesakit.

“Jururawat bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi satu panggilan untuk berkhidmat dengan hati. Kita adalah mereka yang sentiasa berada di sisi pesakit,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Makan Malam Jururawat Bahagian Sarikei 2026 berkata demikian ketika berucap di majlis tersebut sempena Hari Jururawat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony, malam tadi.

Katanya, di sebalik imej jururawat yang sentiasa dilihat tabah dan tenang, mereka juga berdepan pelbagai cabaran termasuk keletihan akibat syif berganda, beban tugas yang semakin meningkat dan tekanan emosi dalam menguruskan pesakit.

“Sebagai jururawat, kita sering dilihat sebagai insan yang kuat, sabar dan sentiasa tenang. Tetapi hakikatnya, di sebalik uniform yang kita pakai, kita juga manusia biasa yang mempunyai kelemahan.

“Kita keletihan dengan kerja syif berganda, beban tugas yang semakin mencabar dan tekanan yang berterusan. 

“Mengurus ramai pesakit dalam satu masa dan mengejar tugasan yang tidak pernah habis menjadi realiti profesion ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap jururawat perlu terus memperbaiki diri dengan meningkatkan tahap kesabaran, profesionalisme dan empati, selain sentiasa mengikuti perkembangan ilmu serta teknologi dalam bidang perubatan.

“Kita sedar bahawa sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri. Kita terus belajar untuk menjadi lebih sabar, lebih berkualiti, lebih profesional dan lebih berempati dalam memberikan perkhidmatan.

“Pembelajaran berterusan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab agar kita dapat memberikan penjagaan yang selamat, berkualiti tinggi dan selaras dengan amalan terkini,” katanya.

Beliau turut mengimbau pengorbanan warga kejururawatan ketika pandemik COVID-19 apabila mereka menjadi antara petugas barisan hadapan yang sanggup berdepan pelbagai risiko demi memastikan rakyat terus menerima rawatan.

Di samping itu, beliau mengajak semua jururawat agar terus saling menyokong dan menghargai antara satu sama lain dalam mendepani cabaran profesion, sambil menegaskan bahawa setiap jururawat merupakan wira yang jasanya sentiasa dirasai oleh masyarakat walaupun tidak sentiasa berada di sebalik perhatian umum.

Oleh Earl Anek