Lebih 700 peserta jayakan Larian Sa’ati 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Larian Sa’ati 2026 sempena sambutan Hari Sarawak berjaya menarik penyertaan lebih 700 peserta dari pelbagai daerah, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyertaan yang memberangsangkan membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap aktiviti komuniti yang bukan sahaja menggalakkan amalan hidup sihat, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan orang ramai yang hadir bagi memeriahkan program ini. 

“Kehadiran yang begitu memberangsangkan membuktikan semangat kebersamaan dan sokongan padu masyarakat terhadap aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada semua.

“Saya juga bersyukur kerana Larian Sa’ati terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan sejak mula dianjurkan pada 2023,” katanya yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Meradong ketika berucap di program tersebut.

Katanya, tahun ini merupakan penganjuran kali keempat, sekali gus membuktikan komitmen semua pihak dalam menjadikan program ini sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.

“Larian Sa’ati bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat, menggalakkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.

Bersempena Hari Sarawak, beliau turut mengajak seluruh rakyat agar terus menghargai sejarah, memelihara perpaduan dan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Semangat cintakan Sarawak perlu terus dipupuk agar negeri ini kekal aman, harmoni dan terus maju,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sayap Pemuda SUPP Bintangor, Sayap Wanita SUPP Bintangor, Saberkas Cawangan Bintangor, para penaja, sukarelawan, agensi yang terlibat dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Pengelola Larian Sa’ati Hari Sarawak 2026, Ley Chee Hua; Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Meradong, Abg Noramin Fathullah Abg Hadi; Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) Meradong, ASP Jonathan Nyanga Laga; Penolong Penyelia Pejabat Pendidikan Daerah Meradong, Joseph Ling Sui Ying; dan Pembantu Pustakawan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Ricky Bakit.

Oleh Earl Anek