MIAMI, Amerika Syarikat: England menewaskan Perancis 6-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia yang berlangsung penuh dramatik sebentar tadi, manakala Kylian Mbappe muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia.
Kedua-dua pasukan mengharungi kempen Piala Dunia 2026 dengan sasaran lebih tinggi, namun terkandas di peringkat separuh akhir. Perancis tewas kepada Sepanyol, manakala England dikecewakan Argentina selepas gagal mempertahankan kelebihan pada lewat permainan.
Kedua-dua jurulatih melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama susulan cuaca panas terik di Miami, dengan beberapa pemain bintang hanya memulakan aksi di bangku simpanan.
Pengendali England, Thomas Tuchel, tidak menyenaraikan Harry Kane dan Jude Bellingham dalam kesebelasan utama, manakala Didier Deschamps, yang bakal mengakhiri khidmatnya selepas 14 tahun membimbing Perancis, turut merehatkan Bradley Barcola dan Ousmane Dembele.
Pemain tengah Arsenal, Declan Rice, meletakkan England di hadapan menerusi jaringan jarak jauh seawal minit ketiga sebelum Ezri Konsa menanduk masuk gol kedua untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Mbappe dan Michael Olise beberapa kali mengancam kubu England ketika Perancis berusaha merapatkan jurang, namun penjaga gol kedua England, Dean Henderson, mempamerkan aksi cemerlang.
England terus menguasai permainan apabila Bukayo Saka menjadikan kedudukan 3-0 menerusi serangan balas pantas.
Saka kemudian menambah gol keempat England pada masa kecederaan babak pertama, dengan jaringan keduanya itu diraikan penuh semangat oleh Tuchel.
Deschamps menyifatkan aksi babak pertama anak buahnya sebagai “malapetaka” ketika ditemu bual stesen televisyen Perancis, M6, sambil menggesa pemainnya mempamerkan semangat juang.
Beliau melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Dembele, Dayot Upamecano, Lucas Digne dan Barcola, dan perubahan itu segera membuahkan hasil apabila Mbappe menjaringkan gol kesembilannya dalam kejohanan bagi mengatasi Lionel Messi di tangga teratas senarai penjaring terbanyak.
Perlawanan kemudian berubah sepenuhnya apabila Barcola menjaringkan gol kedua Perancis, sekali gus membakar semangat pasukan.
Mbappe kemudian meledak gol keduanya hasil hantaran Olise untuk mencatat jaringan ke-22 dalam sejarah Piala Dunia, sekali gus muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu.
Jaringan tersebut turut meletakkan Mbappe dua gol di hadapan Messi dalam perebutan Kasut Emas Piala Dunia 2026.
Perancis mensia-siakan beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum England dihadiahkan sepakan penalti apabila Malo Gusto menjatuhkan Djed Spence di dalam kawasan penalti.
Saka tenang menyempurnakan sepakan itu untuk melengkapkan hatriknya.
Dembele sempat menjaringkan gol keempat Perancis, namun Bellingham menambah derita lawan apabila menghasilkan jaringan ke-10 perlawanan menerusi aksi solo yang menarik.
Jaringan itu menyaksikan Bellingham menjadi pemain England pertama menjaringkan tujuh gol dalam satu edisi Piala Dunia.
Kejayaan menamatkan saingan di tempat ketiga merupakan pencapaian terbaik England di Piala Dunia sejak muncul juara pada 1966, meskipun kekalahan kepada juara bertahan, Argentina, di separuh akhir terus meninggalkan kekecewaan.
Deschamps sebelum ini membawa Perancis muncul juara dunia pada 2018 sebelum muncul naib juara empat tahun kemudian.
Les Bleus hadir sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2026 selepas memulakan kempen dengan cemerlang, namun impian itu berkecai apabila tewas 0-2 kepada Sepanyol di separuh akhir.
Argentina, juara dunia tiga kali, akan menentang juara Eropah, Sepanyol, dalam perlawanan akhir di East Rutherford, New Jersey, pada Ahad. — AFP


