Sokongan penyokong bakar semangat Argentina buru kejuaraan dunia sekali lagi – Scaloni

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Sokongan padu penyokong menjadi pembakar semangat juara bertahan Argentina untuk membawa pulang trofi Piala Dunia sekali lagi, kata ketua jurulatih Lionel Scaloni menjelang aksi final menentang Sepanyol pada awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia)

Bercakap pada sidang media di New York pada Jumaat, Scaloni ditanya bagaimana pasukannya terus mengekalkan semangat juang untuk menang selepas mereka sudah pun menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia.

“Apabila anda melihat rakyat sendiri meraikannya dan betapa gembiranya mereka, perasaan itu menyentuh hati. Mustahil untuk tidak terkesan,” katanya, menurut Reuters.

Status Argentina sebagai juara bertahan menyebabkan sesetengah pemerhati sebelum kejohanan meramalkan mereka mungkin tidak lagi berjuang sekuat dahulu.

Namun, skuad La Albiceleste berulang kali bangkit daripada permulaan sukar sepanjang kejohanan, didorong sorakan penyokong setia mereka.

“Pada akhirnya, kami bermain untuk mereka. Pasukan ini bermain untuk negara dan keluarga masing-masing,” katanya.

“Penyokong Boca dan River yang biasanya berseteru boleh berpelukan dan meraikan kejayaan bersama di depan televisyen. Bagaimana perkara itu tidak menyentuh perasaan anda?”

Penjaga gol Emiliano Martinez turut bersetuju dengan pandangan itu.

“Penyokong kami benar-benar luar biasa dan berbeza daripada negara lain. Melihat mereka meraikan kejayaan pada 2 pagi dalam cuaca sejuk di Argentina amat bermakna.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membawa pulang trofi itu ke negara kami,” katanya pada sidang media itu.

Martinez, yang kadangkala mencetuskan kontroversi menerusi gelagatnya serta helah psikologi ketika penentuan sepakan penalti, berkata beliau lebih menikmati Piala Dunia kali ini berbanding edisi Qatar 2022 yang menyaksikan Argentina muncul juara.

Beliau menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi pada perlawanan pembukaan ketika itu sebagai pengalaman yang amat menyakitkan.

Scaloni berkata semua pemain berada dalam keadaan baik, meskipun Argentina mempunyai tempoh persiapan sehari lebih singkat berbanding Sepanyol selepas beraksi menentang England pada separuh akhir di Atlanta pada Rabu.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih.

“Kami tiba pada 11 malam tadi dan esok akan menjadi hari yang sibuk. Saya akan bercakap dengan mereka dan melihat keadaan masing-masing, tetapi secara keseluruhannya semua berada dalam keadaan baik,” katanya.

Perlawanan akhir itu dijangka menjanjikan aksi menarik apabila Argentina yang terkenal dengan semangat juang tinggi serta diperkuat Lionel Messi berdepan juara Eropah, Sepanyol, yang diketuai Lamine Yamal dan terkenal dengan corak permainan berasaskan penguasaan bola.

Aksi kemuncak itu juga berpotensi menjadi kejayaan terbesar dalam penghujung karier gemilang Messi.

“Untuk beliau mara ke final pada usia 39 tahun adalah sesuatu yang luar biasa.

“Kita perlu menghargai apa yang dilakukannya. Beliau berjaya mencapai sesuatu yang beberapa tahun lalu dianggap mustahil.

“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini dan terus bersaing pada peringkat tertinggi. 

“Saya berharap kami menang, tetapi jika tidak, beliau tetap akan menjadi contoh kepada semua,” kata Scaloni.- Bernama